top of page

Isu Rohingya: Boleh berperikemanusiaan tanpa gadaikan keselamatan – AMK Kedah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan berperikemanusiaan terhadap pelarian Rohingya, namun pada masa sama memastikan aspek kedaulatan, keselamatan dan kepentingan rakyat tidak diketepikan, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail.


Beliau berkata laporan The Economist kelmarin mengenai keadaan pelarian Rohingya di Malaysia yang agak negatif perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira realiti serta kebimbangan yang berlaku di lapangan berdasarkan keadaan semasa.


"Orang Malaysia memang dari dulu ada sifat suka membantu. Bila nampak orang susah, kita tolong. Bila ada yang perlukan bantuan, kita hulurkan. Itu nilai kemanusiaan yang kita pegang


"Kita faham masyarakat Rohingya melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan di Myanmar. Kita juga tak setuju kalau ada mana-mana pihak menghina, menganiaya atau menyebarkan berita palsu terhadap mereka," katanya dalam hantaran di media sosial.


Namun begitu Fitri berkata, Malaysia juga perlu menilai sejauh mana isu pelarian itu boleh terus ditanggung negara dan negeri-negeri yang menerima mereka.


Beliau berkata, kebimbangan penduduk di Kedah, khususnya di kawasan yang berdepan kemasukan dan penempatan komuniti pelarian perlu diambil kira dalam isu pelarian.

Mohammad Fitri Ismail
Mohammad Fitri Ismail

"Rakyat risau tentang kemasukan yang tidak terkawal, gejala sosial, pemerdagangan manusia, pekerjaan tidak formal, tekanan terhadap kemudahan awam dan kesan kepada kehidupan komuniti setempat


"Benda ni jangan kita sapu bawah karpet," ujarnya.


Sehubungan itu, Fitri menggesa kerajaan memastikan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih sistematik dan pemantauan yang berkesan dilaksanakan.


"Apa yang kita perlukan ialah pengurusan pelarian yang lebih tersusun, pendaftaran yang jelas, kawalan yang tegas, tindakan terhadap sindiket penyeludupan manusia.


"Kita tak boleh hanya tunggu masalah berlaku, baru nak bertindak," katanya.


Fitri menegaskan pendekatan kemanusiaan dan kepentingan keselamatan rakyat tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bercanggah.


Katanya, Malaysia boleh menunjukkan sikap berperikemanusiaan tetapi tanpa menggadaikan keselamatan rakyat.


"Kita boleh membantu orang yang susah tanpa mengabaikan rakyat sendiri. Kita (juga) boleh tegas tanpa menjadi zalim," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page