top of page

Isu penahanan Exco: MB T'ganu perlu pertahan integriti pentadbiran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Penahanan seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa disifatkan sebagai tamparan serius terhadap kredibiliti pentadbiran negeri.


Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, isu tersebut bukan sekadar melibatkan individu, sebaliknya menyentuh soal budaya tadbir urus serta tahap akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan negeri.


"Isu ini bukan sekadar melibatkan individu, tetapi menyentuh budaya tadbir urus dan tahap akauntabiliti pentadbiran.


"KEADILAN Terengganu menegaskan bahawa Exco berkenaan wajar digantung tugas atau dicutikan sementara siasatan dijalankan, bagi memastikan proses berjalan secara bebas," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Aiman Wan Alias
 Aiman Wan Alias

Beliau turut menegaskan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar merangkap Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu perlu tampil menyatakan pendirian rasmi berhubung isu tersebut.


"Kepimpinan tidak boleh berdiam diri dalam keadaan yang menjejaskan keyakinan rakyat. Menteri Besar perlu memperincikan langkah yang akan diambil bagi memelihara integriti pentadbiran negeri," ujarnya.


Menurut Aiman, kerjasama penuh kepada SPRM mesti disertai dengan komitmen terhadap ketelusan serta semakan menyeluruh terhadap projek dan keputusan yang berkaitan.


"Rakyat Terengganu berhak mendapat pentadbiran yang bersih dan berintegriti. Jawatan awam adalah amanah kepada rakyat, bukan keistimewaan peribadi," tegasnya.


Tambah beliau, KEADILAN Terengganu akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan proses undang-undang berjalan secara bebas, adil serta tanpa sebarang campur tangan politik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page