top of page

Isu pecat Hamzah: Pemimpin Pas terkejut, tetapi krisis Pas marahkan ahli - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa “terkejut” dengan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin serta menggesa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelesaikan segera kemelut dalaman parti itu dikritik Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar).


Menurut Mahfuz, kenyataan tersebut amat aneh memandangkan Pas kini dilihat menasihati pihak lain supaya bertenang dan berdamai, sedangkan pendekatan berbeza diambil ketika parti itu berdepan krisis dalaman terutama dalam krisis politik di Perlis.


"Rakyat tidak lupa, ketika krisis di Perlis, tiga ADUN Pas dipecat sehingga Kerajaan Negeri tumbang. Ketika itu tiada seruan berdamai, tiada ruang muhasabah, dan tiada pengakuan kesilapan kepimpinan," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, ketika krisis tersebut memuncak tindakan tegas diambil dan kesalahan diletakkan kepada ahli kerana dianggap tidak taat kepada pimpinan.


Mahfuz turut menimbulkan persoalan mengenai perbezaan pendekatan Pas apabila berdepan krisis dalaman berbanding ketika menegur parti sekutu.


"Timbul satu persoalan, mengapa apabila krisis berlaku dalam Bersatu, Pas menyeru hikmah tetapi apabila krisis berlaku dalam Pas sendiri, pendekatan berubah menjadi hukuman?" soalnya.


Tambah beliau, pengakuan pimpinan Pas sendiri mengenai kewujudan budaya “makan kawan” menimbulkan tanda tanya sama ada nasihat yang diberikan kepada Bersatu sebenarnya mencerminkan keadaan dalam parti itu sendiri.


"Adakah Pas sedang menasihati Bersatu, atau sebenarnya sedang melihat cermin kepada dirinya sendiri?" katanya.


Beliau menegaskan politik tidak boleh menggunakan dua ukuran — satu untuk rakan dan satu lagi untuk diri sendiri.


"Jika pemecatan dalam Bersatu dianggap mengejutkan, maka tindakan yang menyebabkan hilangnya sebuah Kerajaan Negeri sepatutnya jauh lebih mengejutkan negara. Namun sehingga hari ini, yang disalahkan bukan keputusan kepimpinan, tetapi ahli," ujarnya.


Menurut Mahfuz, realiti yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) berpunca daripada masalah dalaman yang gagal diselesaikan secara tuntas.


Masalah PN hari ini, katanya, bukan datang dari luar sebaliknya daripada budaya dalaman yang gagal diselesaikan tetapi sering dinafikan.


"Selagi budaya menyalahkan orang lain lebih mudah daripada muhasabah, selagi itulah krisis akan berulang, sama ada dalam Pas atau dalam PN."


Beliau turut menegaskan bahawa Pas tidak boleh terus menasihati pihak lain mengenai perpaduan dan ukhuwah sekiranya perbezaan pandangan dalam parti sendiri diselesaikan melalui penyingkiran.


"Rakyat sedang memerhati. Yang mereka mahu bukan nasihat kepada orang lain, tetapi kejujuran kepada diri sendiri," kata Mahfuz lagi.


Kelmarin, Tuan Ibrahim dilaporkan terkejut dengan keputusan Bersatu memecat Timbalan Presidennya, Hamzah Zainuddin daripada parti itu.


Tuan Ibrahim berkata, partinya berharap Bersatu dapat menyelesaikan kemelut dalaman parti berkenaan secepat mungkin.


"Keputusan Bersatu ini amat mengejutkan kami dan Pas berharap isu dalaman dalam parti itu dapat diselesaikan dengan segera," katanya dipetik BH Online.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page