18 masjid, surau di Seri Setia, Taman Medan terima sumbangan Ahli Majlis MBPJ
- Redzuan Shamsudin
- 2 hours ago
- 2 min read

Sebanyak 18 masjid dan surau di sekitar DUN Seri Setia dan DUN Taman Medan menerima sumbangan berjumlah RM18,000 daripada Pejabat Ahli Majlis Petaling Jaya Zon 21 sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Nabil Halimi berkata, setiap masjid dan surau menerima RM1,000 bagi membantu ahli kariah membuat persediaan mengimarahkan bulan Ramadan yang bakal bermula esok.
"Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu ahli kariah masjid dan surau di Petaling Jaya sebagai persiapan mereka dalam mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti sahur, iftar, tadarus al-Quran dan iktikaf sempena 10 malam terakhir," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau yang juga Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat turut menegaskan komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama dengan pihak pengurusan masjid dan surau dalam menganjurkan program keagamaan di sekitar Petaling Jaya, khususnya yang melibatkan penyertaan golongan belia.
"Sebagai Ahli Majlis, saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak masjid dan surau dalam menganjurkan program keagamaan, terutama yang melibatkan anak muda. Inisiatif seperti Rakan Muda Masjid yang diperkenalkan Kerajaan MADANI wajar dimanfaatkan bagi mengaktifkan peranan belia dalam pengimarahan institusi masjid," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pengurusan masjid dan surau mengadaptasi teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran.
"Saya turut menyarankan agar pihak pengurusan masjid dan surau mengadaptasi teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, termasuk mewujudkan sistem audit digital bagi memastikan ketelusan pengurusan dana derma. Pejabat Ahli Majlis bersedia menyokong mana-mana masjid atau surau yang berminat untuk dijadikan projek rintis (POC)," katanya.
Menurut beliau, institusi masjid dan surau bersama ahli kariahnya merupakan barisan hadapan dalam mendidik masyarakat Islam agar menjadi warganegara berakhlak mulia.
"Selari dengan aspirasi Negeri Selangor, pembangunan yang ingin kita capai bukan sahaja bersifat material, tetapi turut menekankan pembinaan masyarakat yang beradab dan berintegriti," tambah Nabil.





