MB Amirudin salur gaji Ahli Parlimen untuk surau, institusi agama
- Suara Keadilan
- 22 minutes ago
- 1 min read

Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari menyalurkan gaji diterimanya sebagai Ahli Parlimen Gombak bagi membantu pembangunan semula surau dan institusi agama di kawasan tersebut.
Amirudin, dipetik laporan Selangorkini berkata, sejak dipilih mewakili kawasan Parlimen itu, beliau memperuntukkan kira-kira RM200,000 setiap tahun untuk rakyat melalui tabung komuniti di Gombak.
Menurutnya, tahun ini beliau mengambil pendekatan berlainan apabila menyalurkan gaji sebagai Ahli Parlimen bagi menyokong pembangunan institusi agama.
"Tahun ini sedikit berbeza, saya mengubah gaji selaku Ahli Parlimen Gombak antara RM20,000 hingga RM25,000 setiap bulan disalurkan untuk membantu surau dan institusi agama.
"Bulan lalu, ia di peruntukan untuk surau di Hulu Kelang. Bulan ini, saya salurkan pula untuk pembangunan semula Madrasah Al-Iman yang memerlukan dana RM1.5 juta," katanya dipetik.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor ditemui pemberita pada program kenduri bersama rakyat di Madrasah Al-Iman, di Taman Seri Gombak pada Selasa.
Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan berupa sejadah dan kurma kepada 100 penduduk Taman Seri Gombak.
Beliau turut memaklumkan kesediaan pihaknya untuk membantu membangunkan semula madrasah yang berusia 31 tahun tersebut.





