top of page

Isu PdPR : Manifestasi kegagalan Perikatan Nasional



Oleh: Muhammad Kamil Abdul Munim


Pandemik Covid 19 sudah tentu memberi impak yang besar terhadap perjalanan ekonomi. Ianya juga merupakan medan semula jadi untuk menguji tahap kecekapan pengurusan, penjagaan kesihatan dan fasiliti awam bagi mengetahui sejauh manakah kesediaan kita untuk berhadapan dengan bencana ini.


Wabak ini juga telah memberi impak yang besar terhadap sektor pendidikan. Perkongsian mengenai ketiadaan alat peranti, masalah capaian internet, dan masalah motivasi pelajar membanjiri media sosial. Situasi ini membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah gagal mengurus kesan pandemik terhadap pelajar, tenaga pengajar dan juga ibu bapa.


Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan adalah sesuatu yand tidak dapat dielakkan memandangkan seluruh negara kecuali negeri Sarawak kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PdPR akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran diteruskan secara atas talian (online).


Kelemahan capaian internet


Pandemik ini juga telah mendedahkan masyarakat kepada kesenjangan digital yang wujud di negara ini. Ramai pelajar yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara online kerana tiada capaian internet. Mengapa tiada langkah drastik diambil bagi menyelesaikan masalah ini sedang kita punya keupayaan untuk menyelesaikan pembangunan infra bagi tujuan tersebut dalam masa yang singkat.


Rundingan dengan pemain industri telekomunikasi adalah perlu bagi memastikan masalah ini dapat diredakan. Ini termasuk dengan menawarkan skim atau pakej internet atau apa sahaja keupayaan mereka untuk membantu kerajaan dalam krisis yang sedang melanda. Sudah tiba masanya mereka berbakti kepada tuan


Pandemik ini telah melanda negara sejak awal tahun lalu. Kerajaan tiada alasan untuk tidak menyediakan infrastruktur asas internet yang lengkap bagi membenarkan pelaksanaan PdPR yang berkesan. Jelas, Menteri Pendidikan telah gagal merancang secara komprehensif dan hanya membuat perancangan secara reaktif.


Isu kekurangan peranti


Masalah peranti juga memberi gambaran bahawa ramai pelajar yang masih belum bersedia untuk menjalani PdPR dan mengakibatkan keciciran. Bagi mereka yang mempunyai bilangan anak ramai bersekolah, ini adalah cabaran yang besar terutamanya bagi golongan B40.


Pakej PERMAI yang diumumkan oleh Perdana Menteri tidak memberi sebarang inisiatif khas bagi anak-anak golongan B40 untuk mendapatkan alat peranti. Sebaliknya, hanya sekadar pelepasan cukai hingga RM2,500 untuk pembelian komputer, laptop, dan telefon pintar. Pelepasan cukai ini hanya relevan bagi golongan yang berpendapatan RM34,000 setahun dan ke atas sahaja kerana mereka yang berpendapatan kurang daripada itu tidak layak untuk membayar cukai pendapatan. Ini juga membuktikan bahawa pakej PERMAI merupakan perancangan reaktif yang tidak mengambil kira keberkesanan terhadap kumpulan sasar yang lebih memerlukan.


Inisiatif seperti pemberian baucar dan pemberian langsung peranti wajar dipertimbangkan. Ini dijangka lebih berkesan untuk menutup jurang digital yang wujud. Syarikat gergasi perlu dikerahkan melalui tanggungjawab sosial koporat (CSR) bagi menampung beban ini bersama.


Kesihatan mental pelajar dan guru


Tidak dinafikan bahawa perubahan norma PdPR telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada aspek kesihatan mental pelajar dan tenaga pengajar. Pelbagai luahan pelajar telah dikongsikan di media sosial lantas memberi gambaran bahawa kesihatan mental pelajar terjejas akibat perubahan drastik terhadap norma pembelajaran mereka.


Tekanan dan perubahan tersebut tidak eksklusif kepada murid, malah juga melibatkan guru-guru yang juga perlu mengadaptasi teknik pembelajaran dan cabaran dalam menyediakan bahan untuk mengajar. Harus diingat bahawa kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar bergantung kepada kualiti guru. Maka adalah amat penting juga supaya kesihatan mental tenaga pengajar diberi perhatian. Seorang guru yang bermotivasi akan lebih diyakini pelajar dan mampu mengajar dengan lebih berkesan. Meskipun menyedari hakikat tersebut, tiada sebarang usaha yang dijalankan bagi memantau perkara ini.


Melangkah ke hadapan


Kerajaan seharusnya menyemak semula bantuan yang perlu diberikan kepada rakyat supaya selaras dengan keperluan semasa yang mendesak dan akan datang. Kerajaan harus mengimbangi pendekatan sedia ada dengan strategi yang fokus kepada jangka masa panjang.


Kita bingung memikirkan apakah yang dilakukan Menteri Pendidikan sepanjang hampir setahun mengepalai Kementerian Pendidikan. Ini kerana kelangsungan sistem pendidikan negara adalah tunjang kepada pembinaan modal insan masyarakat di negara ini. Ketiadaan pelan arahtuju pendidikan ketika tempoh pandemik ini dan pasca pandemik adalah lambang kegagalan yang serius dan membimbangkan. Ini juga menggambarkan sikap dan tahap keprihatinan kerajaan hari ini terhadap nasib dan derita rakyat kebanyakan.


Pandemik ini membawa pelbagai cabaran kepada pelajar, guru, ibu bapa dan juga pihak kerajaan. Kerajaan yang peka dan bertanggungjawab harus elak daripada mewujudkan “lost generation” akibat pandemik ini dengan memberi perhatian yang sewajarnya kepada isu yang dibangkitkan. Masa depan negara bergantung kepada kualiti pendidikan yang disediakan.


Apa yang pasti dalam tempoh hampir setahun pasca Langkah Sheraton, kerajaan ini dibelenggu dengan masalah menteri yang tidak kompeten, tiada hala tuju yang jelas, rapuh dan tidak efisyen. Prestasi buruk Menteri Pendidikan, Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Kesihatan adalah manifestasi jelas kepada kegagalan kerajaan hari ini.


Nyata keadaan ini memerlukan Malaysia ditadbir oleh pemimpin yang lebih tegas, berani dan berkaliber. Kerakusan terhadap kuasa dan jawatan telah mengakibatkan nasib masa depan anak watan dipertaruhkan dan dipermainkan. Sudah tiba masa untuk Perdana Menteri tanpa mandat ini untuk mengundurkan diri secara terhormat sebelum rakyat bangkit mengusung beliau keluar daripada kerusi empuk di Putrajaya.

_________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Exco Angkatan Muda KEADILAN Perak





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page