top of page

Isu Network School: Malaysia berhak tentukan dasar luar, tolak Israel

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Malaysia berhak mempertahankan kedaulatan, menegakkan undang-undang serta menentukan dasar luar negaranya tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, kata Yusmadi Yusoff (gambar).


Peguam Kanan, Mantan Senator dan Ahli Parlimen Malaysia itu menegaskan kenyataan beberapa anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) berkaitan pendirian Malaysia terhadap warga Israel susulan siasatan ke atas operasi Network School di Forest City, Johor perlu dijawab secara tegas, berfakta dan berlandaskan prinsip saling menghormati antara negara berdaulat.


"Pendirian Malaysia terhadap Israel tidak boleh disamakan dengan permusuhan terhadap orang Yahudi atau agama Yahudi. Kewarganegaraan Israel dan identiti Yahudi merupakan dua perkara yang berbeza.


"Sebarang gambaran bahawa Malaysia sedang ‘mengusir orang Yahudi’ atau melaksanakan suatu ‘pembersihan’ adalah keterlaluan, mengelirukan dan tidak mencerminkan dasar sebenar Malaysia.


"Malaysia menolak antisemitisme, Islamofobia dan segala bentuk kebencian berasaskan agama atau kaum. Pada masa yang sama, Malaysia berhak menyatakan penentangannya terhadap pendudukan, pengusiran rakyat Palestin dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.


"Malaysia tidak seharusnya dipaksa mengubah dasar luar negaranya semata-mata kerana dasar tersebut tidak selari dengan pendirian sebahagian anggota Kongres Amerika Syarikat. Hubungan antara dua negara sahabat mestilah dibina atas dasar kesetaraan, penghormatan bersama dan pengiktirafan terhadap kedaulatan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.


Menyentuh isu operasi Network School, Yusmadi berkata, sebarang tindakan pihak berkuasa hendaklah dinilai berdasarkan fakta, bukti dan proses undang-undang.


Ujarnya, dapatan bahawa individu yang diperiksa mempunyai dokumen perjalanan yang sah mesti dihormati.


"Pada masa yang sama, persoalan berhubung pelesenan perniagaan, pematuhan imigresen, model operasi, keselamatan dan kedaulatan negara tetap berada dalam bidang kuasa Malaysia.


"Tindakan terhadap mana-mana organisasi tidak seharusnya dibuat berdasarkan kaum atau agama. Namun, tiada pelabur, warga asing atau organisasi swasta boleh menganggap dirinya terkecuali daripada undang-undang Malaysia.


"Malaysia kekal terbuka kepada bakat global, teknologi, inovasi dan pelaburan berkualiti. Namun, keterbukaan ekonomi tidak bererti kita perlu mengorbankan kedaulatan, undang-undang atau prinsip kemanusiaan negara," ujarnya lagi.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk anggota Kongres AS agar mengelakkan sebarang retorik dan memperbanyakkan sesi dialog, ketepatan fakta serta keberanian moral.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page