top of page

Isu Melayu-Islam terancam dimainkan orang luar, tidak reti Adat Pepatih

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Ust Nor Azman (tengah) menolak naratif Melayu-Islam terancam dalam sidang media di Paroi petang tadi
Ust Nor Azman (tengah) menolak naratif Melayu-Islam terancam dalam sidang media di Paroi petang tadi

Pakatan Harapan (PH) menggesa rakyat Negeri Sembilan menolak politik yang 'memperdagangkan' isu Melayu dan Islam demi meraih undi, sebaliknya menilai prestasi kerajaan berdasarkan rekod pentadbiran, dasar serta manfaat yang telah dinikmati rakyat sepanjang hampir tujuh tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar, (MB) Datuk Seri Aminuddin Harun.


Dalam satu kenyataan bersama oleh calon-calon PH, mereka menegaskan naratif yang dibawa lawan BN-PN amat tidak matang dan tidak bertanggungjawab serta tidak mencerminkan semangat demokrasi yang sihat.


Lebih malang lagi kata mereka, isu-isu seperti itu pula dimainkan oleh penceramah yang bukan rakyat Negeri Sembilan dan langsung tidak memahami keluhuran Adat Pepatih di negeri berkenaan.


"Sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini, kami melihat terdapat pihak yang terus menerus memainkan sentimen kaum dan agama.


"Naratif yang dibawa ialah kononnya PH jika terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan, maka kedudukan orang Melayu dan Islam akan terancam.


"Lebih membimbangkan, ia telah mengundang kebimbangan, syak wasangka dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk yang selama ini hidup aman dan harmoni di Negeri Sembilan.


"Pilihanraya sepatutnya menjadi medan pertandingan idea, dasar dan rekod pentadbiran, bukannya medan menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen yang tidak berasaskan fakta," kata mereka.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Sikamat, Ustaz Datuk Nor Azman Mohamad, calon PH DUN N.14 Ampangan, Ustaz Nazri Kassim dan calon PH DUN N.25 Paroi, Ustaz Shahir.


Hakikatnya mereka berkata, sepanjang hampir tujuh tahun di bawah kepimpinan Aminuddin atau dikenali Tok Min, Kerajaan Negeri telah membuktikan melalui dasar dan tindakan bahawa masyarakat Melayu terus dibela secara bermaruah, manakala syiar Islam terus diperkasakan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Maqasid Syariah.


"Lihat sahaja kepada kebajikan penjawat awam Negeri Sembilan. Lebih 90% penjawat awam Negeri Sembilan adalah terdiri daripada berbangsa Melayu Islam.


"Hasil pengurusan kewangan negeri yang berhemah dan prestasi kukuh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), mereka menikmati bonus sehingga tiga bulan gaji serta kenaikan gaji sebanyak 15%.


"Ini bukan retorik. Ini adalah manfaat sebenar hasil pentadbiran yang cekap. Dalam bidang pendidikan pula, Kerajaan Negeri terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi peluang kepada anak-anak Negeri Sembilan untuk berjaya," kata mereka lagi.


Justeru mereka menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya tidak terpengaruh dengan politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama semata-mata untuk meraih undi.


Pada masa sama, mereka menggesa rakyat Negeri Sembilan membuat penilaian berdasarkan rekod pencapaian, fakta serta segala yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sepanjang tujuh tahun mentadbir.


"Sekiranya sebuah kerajaan benar-benar membela Melayu dan memartabatkan Islam, sudah tentu ia dapat dibuktikan melalui dasar, peruntukan, pembangunan dan manfaat yang dinikmati oleh rakyat.


"Itulah yang telah dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan. Kami menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan yang layak mengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada Sabtu depan bersamaan 1 Ogos 2026," ujar mereka lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page