top of page

BUDI Diesel: Keresahan rakyat Sabah, Sarawak diselesaikan - Abun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 22 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI memberi komitmen untuk menyelesaikan isu pelaksanaan Program BUDI Diesel yang dihadapi penduduk luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak secara menyeluruh.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, antara aduan yang diterima termasuk kesukaran mendapatkan diesel bersubsidi, kuota tidak mencukupi serta masalah akses bagi penduduk yang tinggal jauh dari stesen minyak.


"Semua aduan tersebut telah kita ambil maklum dan telah dibangkitkan kepada pihak Kerajaan. Berita baiknya ialah Kerajaan MADANI telah memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan secara menyeluruh demi memastikan rakyat yang benar-benar layak menikmati subsidi diesel," kata beliau dalam satu kenyataan.


Menurut Abun, kerajaan pada dasarnya komited memastikan subsidi diesel disalurkan kepada pengguna yang layak berdasarkan kuota ditetapkan.


Beliau berkata kerajaan turut mempertimbangkan penambahan kuota sebanyak 100 liter kepada kuota sedia ada 200 liter, khususnya bagi pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman yang benar-benar memerlukan.

Abun Sui Anyit
Abun Sui Anyit

Dalam pada itu Abun juga berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa Pejabat Daerah akan memainkan peranan sebagai pusat pemudah cara dalam itu kuota diesel.


"Semasa saya menyampaikan aduan rakyat kepada Menteri di luar Dewan Negara selepas Persidangan Dewan Negara hari ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan bahawa Pejabat-Pejabat Daerah akan memainkan peranan sebagai pusat pemudah cara bagi membantu pengguna diesel di kawasan pedalaman mendapatkan kelulusan membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter," katanya.


Beliau berkata penduduk rumah panjang dan masyarakat luar bandar boleh mendapatkan bantuan dengan hadir ke Pejabat Daerah berhampiran.


Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, kemudahan tersebut bukan hanya terhad kepada pemilik kenderaan pikap, sebaliknya turut melibatkan pengguna diesel lain yang layak berdasarkan syarat ditetapkan kerajaan.


Abun turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI, khususnya Kementerian Kewangan dan Amir Hamzah atas keprihatinan terhadap keluhan penduduk Sabah dan Sarawak.


"Saya mewakili penduduk Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada diesel untuk pengangkutan, pertanian, perikanan, penjanaan elektrik dan aktiviti harian, amat menghargai komitmen Kerajaan dalam mencari penyelesaian yang lebih adil dan praktikal," katanya.


Dalam pada itu, beliau berharap penjelasan berhubung pelaksanaan BUDI Diesel dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan mengambil kira keperluan masyarakat luar bandar dalam menambah baik dasar subsidi.


Abun juga menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan atau menyebarkan maklumat yang mengelirukan.


"Hakikatnya, Kerajaan tidak pernah berniat menarik subsidi daripada rakyat yang layak. Sebaliknya, pelaksanaan BUDI Diesel bertujuan memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran, mengelakkan ketirisan serta menjamin pengurusan kewangan negara yang lebih berkesan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page