Batal lantikan Exco: Tuanku Muhriz guna Fasal 38(5) Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri


Pembatalan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang berkuat kuasa serta-merta adalah menggunakan Fasal XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Para Exco itu berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja serta bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan, juga mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
"Mereka memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia menarik balik perkenan baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.
"Setiap individu berkenaan dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah," kata kenyataan berkenaan.
Kuasa Yang di-Pertuan Besar
Berdasarkan Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Fasal XXXVIII(5) menyentuh tiga keadaan berkaitan kedudukan anggota Exco selain Menteri Besar.
Pertama, anggota Exco memegang jawatan selama diperkenankan Raja. Kedua, pelantikan mana-mana anggota Exco boleh dibatalkan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar. Ketiga, mana-mana anggota Exco boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa.
Struktur ayat ini membezakan antara kuasa perkenan Raja terhadap tempoh jawatan dengan pembatalan pelantikan yang dibuat atas nasihat Menteri Besar.
Dalam hal ini, persoalan sama ada kewujudan Menteri Besar secara automatik menghalang Raja daripada menamatkan tempoh jawatan Exco perlu dilihat berdasarkan keseluruhan Fasal XXXVIII(5), bukannya hanya pada bahagian yang menyebut nasihat Menteri Besar.
Di bawah peruntukan itu, anggota Exco dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar. Namun, selepas pelantikan dibuat, Fasal XXXVIII(5) menetapkan bahawa anggota Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Raja.
Oleh itu, nasihat Menteri Besar dalam proses pelantikan tidak semestinya bermaksud tempoh jawatan Exco bergantung sepenuhnya kepada Menteri Besar.
Barisan Exco baharu
Berikutan keputusan itu Azizi berkata, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang dilantik pada Ogos lepas ialah Mohd Faizal Ramli (Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah), Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan), Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan), Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam), Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital), Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup), Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)), Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).




Comments