Isu Hina Sultan Selangor: Pelaku wajar dikenakan tindakan tegas - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kandungan jelik menghina institusi Diraja melibatkan DYMM Sultan Selangor mendapat reaksi tegas dari Kerajaan Negeri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad semalam membuat laporan polis bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan hinaan melampau terhadap institusi Diraja berkenaan.
"Sebentar tadi, saya mewakili Datuk Menteri Besar telah membuat laporan kepada pihak polis bagi mendesak siasatan segera terhadap penyebaran poster jelik yang jelas menghina institusi Diraja melibatkan DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius satu hantaran yang memaparkan imej menghina yang tular sejak beberapa hari lalu, dan menyifatkannya sebagai bukan sahaja biadab, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN itu, tindakan tersebut tidak boleh dipandang ringan dan perlu disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan kerana berunsur menghasut serta boleh menyebabkan ketakutan awam.
"Malah, ia juga wajar disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan 1948 yang melarang sebarang perbuatan atau penerbitan yang menghina institusi Diraja serta merosakkan hubungan antara kaum," katanya.
Dalam masa sama, Ketua Penerangan KEADILAN Selangor itu juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Saifuddin turut menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menggugat perpaduan.
"Kita mesti kekal rasional, bersatu dan mempertahankan institusi negara yang menjadi tonggak kestabilan Malaysia. Cukup-cukuplah bermain api, undang-undang mesti ditegakkan, dan pelaku mesti dihukum," katanya lagi.




Comments