PM Anwar tidak pernah memburukkan satu kaum di hadapan kaum lain
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai Perdana Menteri yang membawa agenda reformasi serta dasar yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean (gambar) berkata, Anwar tidak pernah menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan politik. Sebaliknya konsisten mengamalkan pendekatan sederhana dan inklusif yang mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk masyarakat Cina, tanpa menjejaskan hak kaum lain.
"Beliau tidak memburuk-burukkan masyarakat Cina di hadapan orang Melayu. Begitu juga, beliau tidak memburuk-burukkan orang Melayu di hadapan masyarakat Cina atau India.
"Pendekatan ini berbeza dengan sesetengah pemimpin politik yang gemar memainkan sentimen perkauman demi meraih sokongan. Ia membuktikan bahawa Anwar merupakan Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ker Chean, walaupun baharu menjalani penggal pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam sektor pendidikan yang turut memberi manfaat kepada pelajar dan sekolah Cina.
Namun katanya, perubahan tersebut tidak seharusnya dilihat dari sudut kaum semata-mata. Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai usaha membangunkan bakat generasi masa depan serta memperkukuh daya saing negara.
"Beliau berusaha memulihkan keyakinan masyarakat Cina terhadap kerajaan dengan menunjukkan bahawa pentadbiran negara tidak meminggirkan mana-mana kaum.
"Sejak sekian lama, kita perlu mengakui wujud rasa curiga dalam kalangan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan dasar kerajaan terdahulu yang dianggap tidak adil kepada golongan minoriti.
"Perdana Menteri cuba menangani keadaan ini. Jika tiada langkah diambil, akan ada pihak merasakan diri mereka tertindas, manakala pihak lain pula melihat sentimen tersebut sebagai keengganan menerima dasar negara," jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa bentuk pentadbiran dibawakan Anwar bukan bertujuan meraih sokongan mana-mana kelompok tertentu, sebaliknya demi masa depan seluruh rakyat Malaysia.
"Kita perlu keluar daripada pemikiran menang atau kalah semata-mata. Semua kaum perlu saling memahami keperluan masing-masing serta mengimbangi kepentingan bersama demi kebaikan negara," katanya.




Comments