Baucar KitaSelangor: Waspada hantaran SMS palsu
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mesej berkaitan Program Baucar KitaSelangor.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi kenyataan memberi peringatan itu bagi mengelakkan mana-mana individu menjadi mangsa penipuan dalam talian berhubung program yang akan dilaksanakan tersebut.
"Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak menekan pautan mencurigakan yang diterima daripada sumber tidak sah berhubung insentif tersebut.
"Untuk makluman, program Baucar KitaSelangor pada masa ini masih belum dibuka untuk permohonan umum," kata kenyataan tersebut.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga menyeru orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan program ini hanya melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri.
Sebanyak 50,000 keluarga kurang berkemampuan di Selangor bakal menerima bantuan tunai RM100 sebulan selama enam bulan menerusi inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 bermula 30 Jun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata, bantuan itu sebagai sebagagian usaha membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos sara hidup ketika krisis bekalan global.
Sementara itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut memaklumkan, Program bantuan itu akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang telah dikenal pasti berdasarkan data dan senarai yang dibekalkan oleh agensi berkaitan.
Antara kumpulan yang terlibat ialah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Dalam kenyataan sama pihaknya turut memaklumkan, penerima yang layak akan menerima SMS secara berperingkat bermula 23 Jun.
Pemakluman itu bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar KitaSelangor berserta dokumen sokongan yang diperlukan.




Comments