top of page

Isu doktor 'PJJ': KKM pertimbang kaji kesan terhadap keluarga

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Kerajaan MADANI bakal mempertimbang keperluan untuk menjalankan kajian asas bertujuan menilai kesan penempatan jauh bagi pegawai perubatan terhadap pasangan dan institusi keluarga.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kajian tersebut penting bagi mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai kesan perpisahan suami isteri dalam tempoh panjang akibat tuntutan tugas.

"Saya kira ada kepentingan untuk kita lakukan kajian asas mengenai sejauh mana terkesannya rumah tangga mereka akibat perpisahan yang begini lama, akibat jawatan atau akibat tugasan dan kerjaya," katanya dipetik pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Selasa.


Beliau berkata begitu bagi mengulas isu dibangkitkan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkaitan buli, penempatan, pertukaran, kebajikan dan ‘brain drain’ pegawai perubatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).


Sementara itu menurut Dr Dzulkefly, sebarang keputusan mengenai penempatan pegawai dibuat berdasarkan kepentingan dan kekosongan jabatan dan mengambil kira kelayakan, kompetensi, pengalaman, tempoh perkhidmatan, jarak tempat kerja, tanggungan serta masalah kesihatan pegawai atau ahli keluarga.


Jelasnya, kira-kira 74 peratus permohonan berkaitan penempatan berjaya diuruskan manakala selebihnya tidak dapat dipenuhi atas pelbagai faktor termasuk ketiadaan kekosongan.


"Bagi urusan pertukaran pula, tiada tempoh menunggu seragam kerana ia bergantung kepada tarikh permohonan, tarikh tutup kitaran, mesyuarat jawatankuasa berkaitan serta keperluan perkhidmatan, dengan proses pertukaran dilaksanakan sekurang-kurangnya empat kali setahun.


"KKM turut menyediakan sistem pertukaran suka sama suka (P3S), setakat ini menyaksikan 118 pasangan jururawat berjaya mendapat padanan, selain lapan kes melibatkan keperluan perkhidmatan dan 18 dalam perkhidmatan farmasi," jelasnya.


Sebagai mengulas isu berkaitan buli dan budaya kerja toksik, Dr Dzulkefly memberi jaminan beliau tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan pemberi maklumat.


KKM tegasnya melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota kementerian pada 21 Ogos 2025, merangkumi prosedur pelaporan, pencegahan dan intervensi.


"Sebanyak 730 aduan direkodkan menerusi sistem aduan sejak 1 Oktober 2022 hingga 28 September lepas, dengan empat aduan disahkan berasas dan tindakan telah diambil, manakala 726 lagi melibatkan pelbagai isu termasuk perkhidmatan, operasi, pertukaran dan komunikasi," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page