Isu buli: Usah politikkan, tangani secara matang - Amirudin Shari


Semua pihak diseru melihat isu buli di sekolah secara matang dan tidak menjadikan sebarang insiden membabitkan pelajar sebagai bahan modal politik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha menangani buli perlu dilakukan secara menyeluruh dan dibincangkan di pelbagai peringkat, termasuk dengan meneliti proses keselamatan di sekolah dan peranan keluarga di rumah.
"Kita perlu menilai sejauh mana kawalan keselamatan di sekolah dan di rumah dipatuhi, selain mekanisme tindakan atau hukuman yang dikenakan.
"Dan apa yang perlu dibuat dengan segera sekarang adalah bagaimana usaha memastikan taraf serta kualiti keselamatan di sekolah dipertingkatkan," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu ketika ditemui selepas Program Nutrisi Selangor (NutriSel) di SMK Telok Panglima Garang, Kuala Langat semalam.
Sementara itu tambahnya, keselamatan pelajar bukan sahaja melibatkan persekitaran sekolah, malah ibu bapa turut memainkan peranan penting terutamanya dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak.
"Sebahagian kes sebelum ini menunjukkan terdapat kesan lencongan tingkah laku akibat penggunaan media sosial yang tidak terkawal atau terpengaruh dengan aktiviti seperti permainan dalam talian dan sebagainya.
"Jadi benda ini kena hati-hati sebab ini masa depan anak-anak. Ibu bapa perlu memantau penggunaan media sosial anak-anak mereka," jelasnya.




Comments