Isu 30% ekuiti Bumiputera pendidikan swasta: ‘Tanya Najib dulu’ - Nurhidayah


Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia, Nurhidayah Che Rose (gambar) mempersoalkan kritikan Nooryana Najwa Najib berhubung perubahan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta.
Beliau berkata, rekod pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dilihat sebelum sebarang kritikan terhadap perubahan dasar pada era Kerajaan MADANI dibuat.
Menurutnya, kerajaan ketika pentadbiran Najib pada April 2009 pernah meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan dengan menghapuskan syarat ekuiti. Rekod Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut mengesahkan langkah itu, manakala pada 2012 liberalisasi diperluaskan kepada beberapa subsektor termasuk pendidikan.
"Pada April 2009, ketika Najib menjadi Perdana Menteri, kerajaan mengumumkan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan tanpa syarat ekuiti.
"Tiga tahun kemudian, liberalisasi diperluaskan kepada beberapa subsektor pendidikan. Pada 2012, pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dibenarkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah teknikal dan vokasional tertentu serta universiti swasta," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Nurhidayah, rekod rasmi kerajaan menunjukkan pada 2012, pegangan asing sehingga 100 peratus dibenarkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah teknikal dan vokasional serta universiti swasta, tertakluk kepada kelulusan kementerian berkaitan.
Beliau mempersoalkan mengapa perubahan syarat ekuiti pada masa kini dijadikan isu untuk menyerang kerajaan sedangkan langkah liberalisasi turut dilaksanakan ketika pentadbiran terdahulu.
"Jika liberalisasi ketika pentadbiran Najib boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada perubahan dasar ekonomi, mengapa perubahan syarat ekuiti hari ini terus dijadikan modal untuk menyerang kerajaan?
"Itulah soal konsistensi yang perlu Nooryana jawab," katanya.
Nurhidayah berkata, Nooryana mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan, namun isu berkaitan ekuiti tidak seharusnya digunakan secara terpilih dengan mengetepikan rekod dasar pentadbiran sebelum ini.
"Nooryana berhak mengkritik Kerajaan MADANI. Tetapi jangan jadikan isu ekuiti bahan serangan terpilih sambil mengetepikan rekod pentadbiran sendiri," katanya lagi.
Kelmarin Kementerian Pendidikan Malaysia melonggarkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera yang ditetapkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian itu.
KPM dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
"Penyelarasan ini dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara," menurut kenyataan berkenaan.




Comments