top of page

Israel tidak kuat tetapi umat Islam berpecah - Mohamad Sabu

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan bahawa kelemahan umat Islam ketika ini bukan berpunca daripada kekuatan musuh, sebaliknya akibat perpecahan dalaman yang berlarutan.


Menurut beliau, situasi semasa di Asia Barat memperlihatkan bagaimana pihak yang menentang Zionisme menjadi sasaran tanpa mengira latar belakang mazhab, ideologi atau fahaman politik.


"Ketika Israel dan Amerika Syarikat berganding bahu menyerang sesiapa sahaja yang menentang agenda Zionisme di rantau Asia Barat, sebahagian umat Islam masih tenggelam dalam perbahasan sempit, mempertikaikan soal mazhab, mempersoalkan sama ada pihak tertentu layak dibela hanya kerana perbezaan pegangan fiqh dan aliran teologi.


"Sedangkan bagi Israel dan sekutu-sekutunya, mereka tidak pernah peduli seseorang itu Sunni atau Syiah. Mereka tidak pernah bertanya apa mazhab kamu sebelum menjatuhkan bom, melepaskan peluru, atau mengenakan sekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan bahawa sejarah menunjukkan tokoh daripada pelbagai latar belakang sama ada ulama dan pimpinan gerakan Sunni seperti Sheikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz al-Rantisi, Ismail Haniyeh, dan Yahya Sinwar, hinggalah kepada tokoh-tokoh Syiah seperti Sayyid Hassan Nasrallah, Qassem Soleimani, dan Ayatullah Sayyed Ali Khamenei telah menjadi sasaran kerana pendirian mereka terhadap penjajahan.


Dalam masa sama, beliau menyifatkan kegagalan umat Islam untuk bersatu sebagai antara punca utama kelemahan berpanjangan, walaupun memiliki kekuatan dari segi jumlah umat dan sumber kekayaan.


"Malangnya, ketika musuh bersatu atas agenda penjajahan mereka, umat Islam pula masih berpecah atas perkara-perkara cabang dan khilafiah," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa perpecahan yang berterusan hanya akan melemahkan keupayaan umat untuk mempertahankan kepentingan bersama, termasuk dalam isu Palestin dan penindasan di rantau lain.


"Masjid dan surau dipenuhi perbahasan yang memecah-belahkan, mimbar dan kuliah kadangkala lebih banyak menanam kebencian sesama Muslim daripada membina kesedaran terhadap musuh sebenar umat."


Justeru, beliau menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran asas agama yang menekankan kesatuan, seperti yang dinyatakan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 agar tidak berpecah-belah.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut menegaskan keperluan untuk memberi tumpuan kepada isu utama seperti pembelaan terhadap golongan tertindas dan penentangan terhadap kezaliman, berbanding pertelingkahan perkara cabang.


"Lebih menyedihkan, terdapat negara-negara Islam yang kaya-raya membuka pintu seluas-luasnya kepada kehadiran tentera asing, menjadi pangkalan strategik kuasa Barat, membeli senjata bernilai berbilion dolar tetapi bukan untuk mempertahankan Palestin, sebaliknya untuk menjamin kelangsungan rejim masing-masing dan kadangkala digunakan terhadap sesama umat Islam," katanya.


Beliau menambah, kegagalan memahami keutamaan ini akan menyebabkan umat Islam terus berada dalam keadaan lemah walaupun memiliki potensi besar.


"Kita menyaksikan gerakan-gerakan penentangan terhadap Zionis terdiri daripada pelbagai latar, Sunni, Syiah, nasionalis, kiri, Islamis, boleh mengenepikan perbezaan demi menghadapi musuh bersama. Tetapi banyak negara Islam yang memiliki kekuatan ekonomi dan ketenteraan pula masih terikat dengan pakatan strategik bersama Amerika dan sekutu-sekutunya


"Musuh kita bersatu atas kebatilan, tetapi kita berpecah walaupun berada di atas kebenaran," tegasnya.


Menurut beliua, selagi umat Islam gagal membezakan antara perbezaan yang boleh diraikan dengan perpecahan yang membawa kehancuran, selagi itulah mereka akan terus menjadi umat yang diperhitungkan hanya pada angka, bukan pada kekuatan.


"Sudah tiba masanya umat Islam kembali kepada keutamaan sebenar perjuangan, bukan bertelagah pada perkara furuk yang kecil, tetapi bersatu mempertahankan maruah umat, membela yang tertindas, dan menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku, sama ada di Palestin, Iran, Syria, atau mana-mana bumi yang rakyatnya dizalimi," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page