Islam: Pas kata terancam, Perlembagaan jamin sebagai agama rasmi


Tiada asas untuk mendakwa Islam di Malaysia terancam apabila kedudukannya sudah dijamin Perlembagaan Persekutuan, selain setiap negeri mempunyai Raja sebagai Ketua Agama Islam, tegas Hassan Abdul
Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan, malah turut diperkukuh menerusi institusi Majlis Raja-Raja yang mempunyai peranan dalam hal ehwal agama Islam di negara ini.
"Islam itu sudah terjamin dalam Perlembagaan negara. Kedudukan Islam (juga) terjamin dengan wujudnya Majlis Raja-Raja yang daripada segi undang-undangnya (dan) dasar-dasar Islam dilaksanakan di negara kita.
"Apa masalah yang dikatakan Islam terancam? Apa yang terancam itu? Setiap negeri Raja-Rajanya ialah Ketua Agama Islam, begitu juga kedudukan orang Melayu, Bumiputera," katanya menerusi satu siaran video.
Pemimpin KEADILAN Johor itu menambah, rakyat bukan Melayu umumnya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
"Rakyat bukan Melayu menghormati perkara itu, ada dua tiga suara yang sumbang dan sebagainya tetapi rakyat bukan Melayu umumnya mereka menerima hakikat negara ini negara Melayu asalnya.
"Sampai sekarang kedudukan Islam (tidak dipertikai)... begitu juga dalam Pakatan Harapan (PH) syarat ini adalah asas penubuhan PH," katanya lagi.
Islam terancam merupakan mainan politik Pas sejak Pilihan Raya Umum 2022 lalu yang menyaksikan pengundi Melayu memenangkan majoriti calon parti berkenaan di negeri Utara dan Timur Semenanjung.
Namun selepas tiga tahun tiada kelihatan perbezaan negeri yang menjaga agama Islam berbanding negeri Pakatan Harapan yang didakwa 'menindas' Islam.




Comments