'Islam bukan milik eksklusif parti politik, Pas jangan sempitkan agama'
- Suara Keadilan

- 13 minutes ago
- 2 min read

Islam tidak wajar dipersempitkan sebagai sesuatu yang eksklusif kepada mana-mana parti politik, sebaliknya perlu difahami sebagai agama suci untuk seluruh umat, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tulisan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang bertajuk “Pas Tidak Ditenggelamkan Selagi Bersama Islam”, yang menurutnya memperlihatkan kecenderungan parti itu untuk meletakkan diri seolah-olah sinonim dengan Islam.
"Islam adalah agama suci milik seluruh umat, bukan milik eksklusif mana-mana parti politik," kata Mahfuz dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan yang menggambarkan bahawa meninggalkan Pas seolah-olah meninggalkan perjuangan Islam sebagaimana yang sering dilaungkan Pas adalah berbahaya kepada demokrasi dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Mahfuz menegaskan bahawa walaupun Pas berhak membawa ideologi dan perjuangannya, parti itu tidak boleh mendakwa diri sebagai paling benar dalam mentafsirkan Islam.
"Pas tidak boleh meletakkan dirinya seolah-olah paling suci, paling istiqamah dan paling benar dalam mentafsirkan Islam," ujarnya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa dalam sistem demokrasi, semua parti politik dan pemimpin berhak dikritik serta dinilai oleh rakyat.
"Mengkritik Pas bukan bermakna mengkritik Islam. Mengkritik Presiden Pas bermakna mengkritik ahli politik, bukan mengkritik ulama," jelasnya.
Mengulas rekod kerjasama politik parti itu, beliau berkata rakyat berhak mempersoalkan konsistensi Pas yang pernah bekerjasama dengan pelbagai parti sebelum berakhir dengan konflik.
Selain itu, beliau turut menyentuh isu Rang Undang-Undang 355 (RUU355) dan hudud yang sebelum ini dijadikan agenda utama, namun menurutnya tidak menunjukkan sebarang kemajuan ketika Pas berada dalam kerajaan selepas Langkah Sheraton.
"Malah isu RUU355 semakin tenggelam, hudud tidak lagi menjadi fokus utama, dan rakyat melihat tiada reformasi besar berkaitan pentadbiran Islam yang dijanjikan."
Beliau juga membangkitkan persoalan berkaitan peningkatan lesen judi cabutan khas ketika Pas berada dalam kerajaan, yang menurutnya menimbulkan tanda tanya terhadap keikhlasan perjuangan Islam parti itu.
Mahfuz menegaskan bahawa Islam tidak diukur melalui retorik politik semata-mata, sebaliknya melalui nilai keadilan, amanah dan keupayaan memimpin.
"Islam diukur melalui keadilan, amanah, integriti dan kemampuan menyatukan masyarakat," katanya.
Tambah beliau, rakyat kini semakin matang dalam menilai perbezaan antara agama Islam sebagai ajaran suci dan parti politik sebagai entiti yang tertakluk kepada penilaian awam.
"Malaysia memerlukan politik yang membawa rahmah, kestabilan dan perpaduan, bukan politik yang memonopoli agama untuk menghalalkan setiap keputusan parti," katanya.
Beliau menegaskan bahawa Islam akan terus kekal mulia tanpa perlu disandarkan kepada mana-mana parti politik.
"Tiada parti politik yang menjadi maksum hanya kerana menggunakan dalil agama dalam setiap kenyataan mereka," katanya.




Comments