
Soal siasat polis dan pendakwaan ke atas aktivis anak muda di Malaysia merupakan intimidasi kepada proses demokrasi dan hak asasi manusia.
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq berkata, pendakwaan ke atas Heidi Quah dan kelmarin soal siasat ke atas Sarah Irdina merencatkan demokrasi dan kebebasan bersuara di negara ini
"Bagi komuniti aktivis yang mengenali komitmen dan mutu kerja Heidi Quah, kejadian berlaku adalah sesuatu yang melampau di saat seluruh aktivis kemanusiaan sedang bekerja keras untuk menyegerakan bantuan kepada semua segmen masyarakat.
"Manakala kejadian yang berlaku kepada Sarah, seluruh aktivis politik dan hak asasi mempersoalkan tindakan penahanan beliau yang jelas bermotifkan politik.
"Hal ini tidak sejajar dengan semangat kebebasan bersuara dan hak mengutarakan pandangan ketika kerajaan benar-benar gagal mengurus isu kenegaraan yang cukup kritikal ketika ini," katanya.
Selain itu, Fadhlina juga mengecam soal siasat terhadap para doktor di MAEPS, Serdang yang terkait dengan protes Hartal Doktor Kontrak ketika sudah ada jaminan oleh pihak Kerajaan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kepada mereka.
"Keabsahan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi hanya terbukti dengan keupayaan semua institusinya menterjemahkan kebesaran jiwa dan mempraktikkan keluhuran demokrasi dalam mengurus khilaf pandangan. Ia bermula dengan mengangkat human dignity atau karamah insaniyyah dalam persoalan nilai dan hukum.
"Intimidasi yang bermotifkan politik, penindasan suara dan perlecehan pandangan harus ditolak secara total demi ekosistem demokrasi yang lebih baik," katanya lagi.
Untuk rekod, aktivis Sarah Irdina Mohammad Ariff telah dibebaskan semalam selepas 10 jam soal siasat polis di atas dakwaan hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Penahanan Sarah, 20, berkaitan dengan dengan catatan media sosial oleh kumpulan anak muda Misi Solidariti mengenai gerakan #Lawan.
Manakala Heidy Quah, pengasas NGO Refuge for the Refugees didakwa di Mahkamah Siber berhubung catatannya di Facebook mengenai keadaan di pusat penahanan imigresen, tahun lalu.