Intervensi awal Kerajaan MADANI bantu negara harungi impak krisis Asia Barat
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 2 min read

Langkah intervensi awal dilaksana Kerajaan MADANI sejak mengambil alih pentadbiran negara tiga tahun lalu berjaya membantu negara mengharungi impak krisis Asia Barat dengan lebih baik berbanding negara-negara lain rantau ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, langkah intervensi yang sudah dilaksana Kerajaan MADANI termasuk penstrukturan subsidi supaya lebih bersasar, mengelak pembaziran, komitmen terhadap usaha memerangi rasuah, pengurusan kewangan serta tadbir urus yang baik.
"Kita lihat seolah-olah rakyat atau masyarakat secara umum masih lagi dalam keadaan "okay"...tidak nampak kesan besar dan sebagainya, tetapi ini sebenarnya disebabkan dalam tempoh tiga tahun ini, kita telah membina daya tahan ekonomi negara yang lebih kuat.
"Jika dibandingkan dengan Thailand, Filipina, Singapura ataupun Indonesia, kita berada jauh lebih baik daripada sudut ekonomi (dalam menangani impak krisis ini)," katanya dipetik program Ruang Bicara bertajuk "Krisis Bekalan Global" terbitan Bernama TV.
Mengulas unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai peningkatan pertumbuhan ekonomi negara berbanding ekonomi global yang menurun, Muhammad Kamil menyifatkannya sebagai satu mesej baik dari sudut penilaian ekonomi negara secara keseluruhan.
"Kalau kita ingin melihat kekuatan serta prestasi ekonomi semasa, kita harus menilai daripada sudut pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi yang masih terkawal, kadar pengangguran yang menurun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun serta kekuatan ringgit yang antara paling berprestasi (baik) di rantau Asia.
"Selain itu, peningkatan kadar pelaburan, sama ada pelaburan domestik mahupun pelaburan langsung asing, juga menunjukkan keyakinan terhadap kerangka ekonomi negara. Meskipun dunia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, keyakinan itu tetap ada dan itu yang penting," tambahnya.
Sementara itu tegasnya, kerajaan menekankan kepentingan memahami kerangka Ekonomi MADANI secara menyeluruh iaitu meningkatkan siling pendapatan rakyat dan siling ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik.
Walaupun ada pihak menganggapnya sebagai retorik, angka hari ini jelasnya menunjukkan sebaliknya – prestasi ekonomi negara semakin baik dan kedudukan fiskal semakin kukuh.
"Hari ini kita ada ruang fiskal yang lebih luas untuk berhadapan dengan krisis. Ketika negara lain mula mencatu minyak atau mengisytiharkan darurat tenaga, Malaysia masih mampu mengawal bekalan dan harga," ujarnya.




Comments