top of page

Inkubator: Pemimpin Berwibawa Dambaan Semua



Oleh: Atriza Umar


ULASAN: Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, parti politik telah berkembang pesat di tanah air kita sebagai model keterlibatan mereka dalam proses demokrasi negara.


Sebarang usaha untuk mendapatkan kuasa menjadi kerajaan memerlukan strategi untuk kesinambungan dan terealisasinya segala yang disasarkan dengan sebaiknya.


Sebagai rakyat, tentu menginginkan negara ini dipimpin oleh barisan pemimpin yang berwibawa, kompetensi, integriti dan tentunya, yang berjiwa rakyat.


Bagi merealisasikan segala itu, negara ini memerlukan beberapa kriteria dalam mengurus parti agar terus di landasan menuju apa yang disasarkan.


Moga ia mampu menjadi penanda aras untuk menghidupkan parti khususnya untuk parti yang benar-benar ikhlas memperjuangkan hak-hak rakyat dan demi menjaga keharmonian serta kestabilan negara.


1. Sistem dalaman yang sistematik


Ia tidak sepatutnya menjadi sistem formal semata-mata untuk melengkapkan syarat penubuhan parti.


Terdapat pihak yang mempunyai sistem dalaman, tetapi ia disimpan di rak setiausaha agung parti atau ketua parti iaitu orang yang mengambil semua kuasa dan terus memimpin parti sepanjang hayatnya seterusnya, mewasiatkan kepada sesiapa yang dikehendakinya.


Ini adalah sebab utama perpecahan parti dan kurangnya penerimaan oleh ahli mereka.


2. Program politik dan projek masa depan


Mana-mana parti politik mesti mempunyai projek bersepadu yang terperinci di mana ia menjelaskan prinsip dan objektif parti serta cara untuk mencapai matlamat ini.


Supaya ia dapat dilaksanakan mengikut perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa, walaupun terdapat beberapa undang-undang yang sekadar di atas kertas.


3. Mempromosikan parti


Ia bagi memberi pendedahan kepada sesiapa sahaja dengan bertujuan memperkenalkan kedudukan parti, meningkatkan kecekapan program dan meningkatkan penyokongnya.


4. Setia dan berwibawa (The best whom you might employ is he who is strong and trustworthy)


Pemimpinnya mestilah berilmu, berpengalaman, jujur, dan tidak terpalit dengan rasuah, sama ada kewangan atau pentadbiran.


5. Percaya kepada amalan demokrasi


Di semua pejabat parti, perlu menyedari bahawa kriteria untuk mengambil apa-apa jawatan ialah kecekapan dan keikhlasan, bukan pilih kasih. Semuanya perlu direkodkan dalam sistem dalaman parti, serta mekanisme pemilihan jawatan perlulah diperincikan.


6. Turun ke lapangan dan mendekati rakyat


Sentiasa menyantuni rakyat dengan sebaiknya. Mengikuti suara-suara yang dilontarkan. Kedekatan kepimpinan dengan pangkalan massa memberi harapan bahawa mereka berusaha untuk menyampaikan permasalahan dan menyelami penderitaan serta berusaha menjadi ‘orang tengah’ untuk menyelesaikannya.


7. Menghormati perlembagaan


Proses politik, undang-undang yang berkuat kuasa, peralihan kuasa secara aman, pengasingan kuasa, dan keadaan kewarganegaraan, tetap dihormati.


8. Tidak mempolitikkan petugas keselamatan


Antaranya seperti tentera, polis, dan semua pasukan keselamatan dan agensi, serta menganggap pasukan ini sebagai penjaga setia tanah air juga rakyat.


9. Perhatian kepada realiti


Tentunya, bukan kepada khayalan membawa mereka mencapai matlamat parti dan membolehkannya mencapai kuasa tanpa benar-benar mencapai apa-apa.


10. Elakkan mencetuskan ‘bola tanggung’ dan retorik


Kerana ini akan menjauhkan penyokong dengan parti.


11. Realistik dalam fitnah dan pujian


Adil terhadap lawan dan penyokong supaya tidak keterlaluan memuji rakan parti melebihi keperluan atau memburuk-burukkan lawannya lebih daripada yang sewajarnya.


12. Rancangan pilihan raya yang berstrategi


Iaitu menyentuh mengenai pemilihan calon dan persiapan penuh mereka, untuk memahami bahagian hadapan parti selepas kemenangan, dan merekalah yang memberi penerangan kepada rakyat tentang pencapaian serta kecekapan dalam melaksanakan tugas yang diberikan serta disokong oleh pengundi parti.


Jika pemilihan tidak diperbaiki, ini akan menyebabkan kurangnya penyokong dan keengganan pengundi untuk menyokong mereka dalam pilihan raya akan datang.


13. Tidak memerintah bersendirian tanpa sinergi dan gabungan dengan parti-parti lain


Ini memerlukan kebijaksanaan besar dalam berurusan antara ahli parti dan penyokong di satu pihak, dan antara pemimpin parti dengan parti lain di satu pihak, sebagai cara menyampaikan mesej yang meyakinkan kepada rakyat atau pengundi yang menyokong.


Ini memerlukan pemimpin bagi meyakinkan penyokong dan mereka yang sehaluan dengannya.


14. Meyakinkan bahawa parti menjadi wadah politik yang diperlukan oleh rakyat


Ia bagi untuk mempertahankan haknya, menyalurkan suara rakyat di dun, parlimen atau dalam kerajaan tempatan dan negara.


15. Pemimpinnya berpengalaman dan berkelayakan (kompetensi dan integriti)


Konteks ini mempunyai hubungan dengan pengundi sebelum dan selepas pilihan raya.


Parti tidak membuat sesuatu janji yang tidak mampu dilaksanakan sebagai manifesto. Tentunya, jika berlaku sebaliknya akan melemahkan penyokong parti dan mengurangkan pengundinya pada masa akan datang.


16. Ketepatan pengurusan dan organisasi dalam parti


Ia memberi keyakinan bahawa mereka berkemampuan untuk menguruskan kerajaan tempatan atau negara.


Jika terdapat kepincangan dalam pentadbiran dan organisasi yang lemah, ia mungkin menjadi terasing walaupun dari penyokong parti itu sendiri.


17. Keputusan hendaklah melalui perbincangan dan kesepakatan


Bukan hanya Setiausaha Agung atau kumpulan yang rapat dengannya harus memonopoli keputusan parti. Nasihat atau ingatan itu membuatkan semua orang merasakan mereka adalah sama dan pendapat mereka dihormati lagi dihargai.


Ramai calon mungkin akan ditolak selepas kemenangan mereka kerana penguasaan pemimpin parti atau kekurangan nasihat di kalangannya.


18. Mengkaji kegagalan terdahulu


Menyediakan kertas kerja untuk menyemak atau koreksi. Seterusnya, mengadakan perbincangan lanjutan untuk membetulkan kesilapan, mencari penyelesaian yang berkesan dan tidak mengulangi kesilapan lampau


19. Memfokuskan juga terhadap golongan muda


Kerana mereka merupakan peratusan pengundi tertinggi dan paling sedikit menjadi wakil dalam dun mahupun parlimen.


Justeru, moga setiap parti menilai dan meneliti dengan sebaiknya inkubator ini, agar pilihan raya umum (PRU-15) akan datang, menjadi medan yang meriah untuk sekalin rakyat Malaysia sama ikuti. Semuanya perlu dimulakan, kerana ia masih belum terlambat. Ayuh!


"Bersama realisasikan kepimpinan negara berkompetensi dan berintegriti."


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page