top of page

Inisiatif Sekolah Angkat MADANI tingkat keselesaan SK Bayan Baru

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
21 hours ago
1 min read
Sim Tze Tzin (empat dari kanan) meninjau ke Sekolah Angkat MADANI di SK Bayan Baru
Sim Tze Tzin (empat dari kanan) meninjau ke Sekolah Angkat MADANI di SK Bayan Baru

Peruntukan RM100,000 menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI berjaya membantu menaik taraf kemudahan dan keselesaan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru.


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, peruntukan tersebut sudah digunakan bagi melaksana beberapa projek termasuk pemasangan penghawa dingin di empat kelas pendidikan khas, pemasangan kipas bersaiz besar di dewan sekolah serta kerja-kerja pembaikan infrastruktur, termasuk bumbung dan bilik guru.


Selain itu peruntukan juga digunakan bagi kerja gotong-royong, naik taraf dan pemerkasaan infrastruktur digital, keselamatan serta keselesaan persekitaran sekolah.


"Saya berbangga kerana dapat menyalurkan peruntukan menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI kepada SK Bayan Baru," kata beliau dipetik ketika meninjau pelaksanaan projek naik taraf di sekolah berkenaan semalam.


Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun dan Mohd. Aidil Fitri Ibrahim; Guru Besar SK Bayan Baru, Razif Othman dan barisan pentadbir sekolah tersebut.


Sementara itu menurut Tze Tzin, peruntukan disalurkan terus kepada pihak sekolah bagi membolehkan mereka menentukan keperluan dan melaksanakan projek bersesuaian mengikut keutamaan.


"Kita akan melihat keperluan seterusnya, termasuk usaha melengkapkan baki kelas yang masih belum mempunyai pendingin hawa," tambahnya.


Dalam pada itu beliau menegaskan, penyaluran peruntukan secara berperingkat di sekolah sekitar Parlimen Bayan Baru turut menunjukkan perubahan ketara terhadap kemudahan fizikal sekolah.


Justeru beliau berharap kerjasama kerajaan, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat diteruskan bagi memastikan lebih banyak keperluan pendidikan dapat dipenuhi.


"Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), atas sokongan berterusan dalam menambah baik kemudahan sekolah," katanya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page