top of page

Operasi setiap hari KDN: 37,313 PATI ditangkap, ketegasan menokhtahkan krisis

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
43 minutes ago
2 min read
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Seramai 37,313 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap menerusi 10,374 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 29 September 2026.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan penangkapan 1,809 majikan, dengan 1,692 daripadanya merupakan warga tempatan yang disyaki bersubahat menggaji atau melindungi PATI.


Menurut beliau, statistik itu menunjukkan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang imigresen, malah turut menyasarkan majikan yang mengambil kesempatan terhadap kewujudan mereka.


"Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada PATI, tetapi mesti turut sampai kepada pihak yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.


Saifuddin berkata, sepanjang tempoh berkenaan, seramai 137,603 individu diperiksa menerusi pelbagai serbuan dan operasi di lapangan.


Beliau menyifatkan isu PATI sebagai masalah legasi yang sekian lama membelenggu negara, dengan kelemahan sistem pentadbiran terdahulu didakwa membuka ruang kepada kegiatan sindiket haram serta majikan yang tidak bertanggungjawab.


Katanya, masalah itu tidak boleh terus dibiarkan menjadi beban kepada generasi akan datang kerana turut memberi kesan terhadap aspek sosial, ekonomi dan keselamatan negara.


Mengulas penangkapan majikan, Saifuddin berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding 346 orang pada 2023, sebelum meningkat kepada 1,859 orang pada 2024 dan 2,202 orang pada 2025.


Bagi tempoh sehingga 29 September tahun ini, seramai 1,809 majikan telah ditangkap.


"Sebagai Menteri Dalam Negeri, pendirian saya jelas. Kita tidak boleh lagi sekadar bertahan atau bertindak apabila sesuatu isu berlaku.


"Saya mahu KDN bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan ofensif menerusi operasi harian tanpa henti di seluruh negara," katanya.


Beliau menegaskan operasi penguatkuasaan itu bukan tindakan bermusim atau hanya dilakukan apabila sesuatu isu mendapat perhatian umum.


Sebaliknya, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM akan meneruskan operasi bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen tanpa mengira kedudukan pihak yang terlibat.


Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan Malaysia tetap mengalu-alukan kedatangan warga asing untuk bekerja atau melancong, namun mereka wajib menggunakan saluran yang sah di sisi undang-undang.


"Sebarang pencerobohan, pemalsuan dokumen atau tinggal lebih masa akan diburu dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi," katanya.


Beliau turut memberi amaran kepada majikan tempatan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI demi mengaut keuntungan kerana perbuatan itu boleh menyumbang kepada ancaman keselamatan negara.


"KDN dan JIM sedang memburu pihak yang terlibat, tiada lagi ruang untuk berselindung daripada tindakan undang-undang," tegasnya.


Saifuddin turut menyeru rakyat Malaysia supaya membantu usaha penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.


Menurutnya, isu PATI bukan sekadar berkaitan imigresen, sebaliknya turut memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan dan ketenteraman sosial.


"Saya akan terus menerajui usaha KDN dan Imigresen dalam menoktahkan isu PATI dan hasilnya mesti dapat dilihat serta dirasai rakyat.


"Kini tiba masanya untuk seluruh rakyat dan majikan bersama-sama memainkan peranan menoktahkan isu PATI," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page