top of page

KPM sedia bantu, jangan sorok masalah sekolah - Fadhlina

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
2 hours ago
2 min read



Fadhlina mencatat perkara yang dibangkitkan para pengetua dan PIBG dalam sesi sarapan pagi bersama mereka di Nibong Tebal, 3 Oktober 2026. Foto Ihsan Fadhlina Sidek melalui Facebook
Fadhlina mencatat perkara yang dibangkitkan para pengetua dan PIBG dalam sesi sarapan pagi bersama mereka di Nibong Tebal, 3 Oktober 2026. Foto Ihsan Fadhlina Sidek melalui Facebook

Kementerian Pendidikan (KPM) sedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pihak sekolah namun pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diingatkan supaya tidak menyimpan atau menyembunyikan perkara yang memerlukan perhatian.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata masalah sekolah perlu disuarakan secara terbuka supaya tindakan sewajarnya dapat diusahakan sama ada melalui pusat khidmat atau dibawa ke peringkat kementerian.


“Jangan simpan atau sorok. Kalau sekolah dalam kawasan sendiri pun kita tak tahu masalahnya, susahlah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Terdahulu Fadhlina berkongsi pendekatannya bertemu secara langsung dengan pihak pengetua sekolah dan PIBG bagi menyelami masalah yang mereka hadapi.


Beliau memulakan harinya di Nibong Tebal, Pulau Pinang dengan mengadakan sesi sarapan bersama pengetua sekolah menengah dan pengerusi PIBG daripada 12 sekolah dalam Parlimen Nibong Tebal.


Menurutnya pertemuan secara bersemuka itu diadakan khusus untuk mendengar sendiri masalah yang sedang dihadapi sekolah, khususnya sekolah yang mempunyai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


“Saya sengaja mahu berjumpa secara bersemuka dengan sekolah-sekolah yang mempunyai calon SPM,” katanya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.


Dalam pertemuan itu, seorang demi seorang wakil sekolah diminta berkongsi masalah yang sedang dihadapi serta bentuk bantuan yang diperlukan bagi memastikan kebajikan dan persediaan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan dapat diperkukuh, katanya.


Fadhlina berkata terdapat perkara yang boleh diusahakan melalui pusat khidmat manakala isu tertentu perlu dibawa ke peringkat KPM untuk tindakan lanjut.


“Yang penting, jangan simpan atau sorok,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Fadhlina mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada PIBG bagi setiap 12 sekolah berkenaan untuk melaksanakan program bersama calon SPM.


Jumlah keseluruhan peruntukan itu membabitkan RM60,000.


Beliau berkata bantuan tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu calon SPM membuat persediaan menghadapi peperiksaan yang semakin hampir.


“Peperiksaan makin dekat, kita bantu mana yang boleh supaya mereka masuk ke dewan peperiksaan nanti dengan persediaan yang lebih baik,” katanya.


Fadhlina turut menghargai keterbukaan pengetua dan pengerusi PIBG yang berkongsi masalah sekolah secara terus dalam pertemuan berkenaan.


“Terima kasih pengetua dan pengerusi PIBG yang bercakap terus terang pagi tadi. Saya dah dengar, sekarang bahagian saya pula untuk usahakan,” katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page