top of page

Fadhlina titip semangat kepada guru baharu ke kawasan pedalaman

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read
DS Fadhlina turut sering meninjau kemudahan sekolah di kawasan pedalaman. Gambar arkib
DS Fadhlina turut sering meninjau kemudahan sekolah di kawasan pedalaman. Gambar arkib

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menitipkan semangat kepada guru baharu yang menerima penempatan khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman.


Beliau berkata, guru yang jauh dari keluarga mungkin berdepan rasa sedih, bimbang atau belum bersedia pada peringkat awal, namun perasaan itu tidak seharusnya mengurangkan rasa syukur kerana diberi peluang memulakan kerjaya sebagai pendidik.


Menurutnya, guru baharu perlu memberi ruang dan masa kepada diri sendiri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, sekolah serta komuniti setempat.


"Ada yang gembira kerana akhirnya bergelar guru. Dalam kegembiraan itu, saya tahu ada juga yang diam-diam sedang memikirkan mak ayah di rumah, pasangan yang terpaksa ditinggalkan, perjalanan yang jauh, tempat tinggal dan bagaimana mahu memulakan kehidupan di tempat yang langsung tidak dikenali.


"Beri masa kepada diri sendiri. Kenali sekolah perlahan-lahan. Kenali anak-anak murid. Cari rakan-rakan baharu dan binalah rutin baharu," katanya menerusi hantaran di media sosial.


Menerusi hantaran tersebut beliau turut mengimbau pengalaman menyantuni murid di Tasik Banding membuatkannya memahami pengorbanan guru yang ditempatkan jauh dari keluarga demi mendidik anak-anak di kawasan berkenaan.


"Bagi seorang guru, ia mungkin terasa seperti melangkah jauh dari rumah. Namun bagi anak-anak di sana, seorang guru sebenarnya sedang melangkah rapat ke kehidupan mereka.


"Suatu hari nanti, mungkin cikgu akan sedar bahawa perjalanan yang terasa begitu jauh ini, ada anak-anak yang membuatkan jarak itu terasa sedikit lebih dekat.


"Siapa tahu, apabila tiba masa untuk bertukar nanti, cikgu pula akan menoleh berkali-kali kerana berat mahu meninggalkan anak-anak yang pernah terasa begitu asing," tambahnya.


Untuk rekod, dalam sistem keguruan Malaysia para guru baharu yang biasanya masih bujang akan dihantar ke kawasan pedalaman bagi menimba pengalaman sebelum mengajar di sekolah yang dipilih guru berkenaan selepas sesuatu tempoh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page