Fadhlina belum berpuas hati pelaksanaan reformasi sekolah


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek belum berpuas hati secara keseluruhan dengan kadar pelaksanaan dan keberkesanan program reformasi sekolah yang sedang dijalankan ketika ini.
Menurut beliau, walaupun pelbagai langkah transformatif dan inisiatif baharu diperkenalkan, jurang pencapaian serta cabaran di peringkat akar umbi masih memerlukan tindakan yang lebih drastik, pantas, dan berfokus.
"Saya memang pantau secara dekat program reformasi sekolah yang sebahagian besarnya saya belum berpuas hati lagi.
"Kita akan lihat bagaimana kita boleh terus sokong dan dukung anak-anak kita ini dalam konteks melihat bahawa reformasi sekolah ini akan memberikan satu keupayaan dan daya juang yang tinggi," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu menerusi ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya pada Khamis.
Menerusi ucapan tersebut, beliau turut menekankan kepentingan jaringan antarabangsa dalam membuka ruang kepada murid dan pendidik untuk berinteraksi dengan dunia luar.
Pengalaman melalui jaringan antarabangsa membolehkan guru, pensyarah dan murid berkongsi pengalaman serta memahami isu pendidikan daripada perspektif lebih luas.
"Nilai sebenar sesuatu jaringan antarabangsa bukan sekadar sijil atau pengiktirafan yang diterima, sebaliknya apa yang dibawa pulang ke institusi masing-masing.
"Pendidikan perlu terus membangunkan potensi murid secara menyeluruh, termasuk memberi ruang kepada mereka mengembangkan bakat di peringkat global," tambahnya.
Sementara itu, Fadhlina menegaskan bahawa Oktober merupakan bulan penting bagi KPM susulan pembentangan Belanjawan 2026.
Beliau turut menyeru agar semua pihak terus melaksanakan amanah dengan gigih serta memohon doa agar diberikan kekuatan, kebijaksanaan, dan keikhlasan dalam menyempurnakan tugas yang berbaki.
"Kita melangkah ke Oktober dengan kerja yang masih banyak dan amanah yang masih besar," katanya.




Comments