Inflasi negara terkawal, kadar 1.8 peratus pada Julai

Updated: Aug 18

Inflasi Malaysia mencatatkan 1.8 peratus pada Julai 2026 berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya dengan mata indeks meningkat kepada 137.1 berbanding 134.7 pada Julai 2025.
Ketua Perangkawan Siti Asiah Ahmad berkata perkembangan itu antara lain dipengaruhi kumpulan pengangkutan yang mencatatkan inflasi 1.4 peratus berbanding 2.8 peratus pada Jun lalu.
"Kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pula menyederhana kepada 2.9 peratus daripada 3.4 peratus pada Jun.
"Ini diikuti peningkatan lebih perlahan bagi minuman alkohol dan tembakau pada 2.7 peratus berbanding 2.8 peratus pada Jun, restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.6 peratus serta pendidikan 2.0 peratus berbanding 2.1 peratus," katanya dalam laporan Indeks Harga Pengguna Julai 2026 yang diterbitkan hari ini.
Siti Asiah berkata kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan turut menyederhana dengan ketara kepada 1.1 peratus berbanding 5.7 peratus pada bulan sebelumnya manakala Kesihatan turun kepada 1.1 peratus daripada 1.2 peratus.
Segmen hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus berbanding 0.4 peratus pada Jun.
Dalam pada itu, kumpulan maklumat dan komunikasi mencatatkan peningkatan kepada 3.4 peratus pada Julai berbanding 2.4 peratus pada Jun.
Kumpulan makanan dan minuman serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain masing-masing meningkat kepada 1.8 peratus berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Rekreasi, sukan dan kebudayaan pula meningkat kepada 1.2 peratus daripada 1.1 peratus manakala pakaian dan kasut merekodkan peningkatan 0.1 peratus berbanding tiada peningkatan pada Jun.
Sementara itu, Siti Asiah berkata tujuh negeri merekodkan inflasi melebihi kadar nasional 1.8 peritus dengan Negeri Sembilan mencatatkan kadar tertinggi pada 2.5 peritus diikuti Kedah dan Pahang, masing-masing 2.3 peratus.
Kuala Lumpur (2.2 peratus), Johor (2.1 peratus), Labuan (2.0 peratus) dan Sabah (1.9 peratus), katanya.
Bagi inflasi makanan dan minuman, semua negeri mencatatkan peningkatan kecuali Kelantan dan Labuan yang tidak merekodkan peningkatan.
Secara bulanan pula, inflasi keseluruhan pada Julai tidak mencatatkan peningkatan berbanding Jun.
Bagaimanapun, kumpulan makanan dan minuman meningkat 0.3 peratus pada Julai berbanding 0.2 peratus pada Jun manakala rekreasi, sukan dan kebudayaan serta restoran dan perkhidmatan penginapan masing-masing meningkat 0.2 peratus.
Kumpulan minuman alkohol dan tembakau serta pendidikan masing-masing meningkat 0.1 peratus, manakala dua kumpulan merekodkan penurunan iaitu pengangkutan sebanyak 1.1 peratus dan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 0.5 peratus.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, inflasi keseluruhan meningkat 1.8 peratus berbanding 1.4 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong antaranya oleh penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang meningkat 5.2 peratus, insurans dan perkhidmatan kewangan (4.5 peratus), minuman alkohol dan tembakau (2.7 peratus) serta restoran dan perkhidmatan penginapan (2.5 peratus).
"Pendidikan turut meningkat 2.4 peratus, diikuti pengangkutan dan maklumat dan komunikasi masing-masing (1.7 peratus) serta kesihatan (1.3 peratus)," katanya.




Comments