Imam Sabri mahu bangunkan DUN Kahang sebagai hab pertanian moden
- Suara Keadilan

- Jul 6
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.31 Kahang, Mohd Sabri Abd Kadir (gambar), optimis kawasan tersebut memiliki potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pertanian moden.
Menurut beliau, terdapat banyak kawasan tanah terbiar di kawasan DUN tersebut yang boleh ditebus guna semula untuk pengeluaran makanan sekaligus memacu ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
"Kalau saya diberi amanah sebagai ADUN, kita akan usahakan untuk menambah baik ekonomi anak-anak muda, terutama dari segi peluang pekerjaan dan pertanian.
"Di Kahang ini banyak tanah kosong yang boleh dimajukan untuk pertanian moden dan pengeluaran makanan.
"Kita boleh memanfaatkan pelbagai bantuan serta sumber yang disediakan Kementerian Pertanian bagi membantu anak muda ini menceburi industri (agro-pertanian) ini," katanya dipetik.
Selain fokus kepada usaha memajukan kawasan tersebut sebagai pusat pertanian moden, beliau yang lebih mesra disapa Imam Sabri itu turut menggariskan beberapa keutamaan lain sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Ia adalah untuk memperkukuh ekonomi rakyat, membuka lebih banyak peluang kepada anak muda, menambah baik kemudahan asas serta memastikan pusat khidmat ADUN sentiasa dekat dengan rakyat.
Selain berhasrat memperkasa sektor pertanian, beliau turut berhasrat menjadikan kawasan Kahang sebagai lokasi agro-pelancongan.
"Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan saya. Insya-Allah, jika diberi amanah, saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat Kahang," katanya.
Pada PRN ini, Mohd Sabri berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), V. Rugendran, dan calon Perikatan Nasional (PN), Mazlan Bujang.
DUN Kahang mempunyai kira-kira 31,116 pengundi berdaftar.




Comments