top of page

Iktiraf UEC sejak era UMNO-BN, tiada siapa bantah sejak 2018

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 15
  • 2 min read

Kontroversi mengiktiraf Sijil Pemeriksaan Bersepadu (UEC) untuk diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengikuti kursus tertentu bukan dasar yang diluluskan pada era Kerajaan Perpaduan, sebaliknya telah wujud sejak era pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada 2018 lalu.


Sehubungan itu, bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar), UMNO adalah pihak yang paling layak menjelaskan rasional keputusan mengiktiraf UEC yang dibuat ketika parti itu menerajui kerajaan hampir sedekad lalu.


Katanya, Pas tidak wajar memainkan naratif kononnya Kerajaan MADANI tunduk kepada kehendak DAP bagi mengalih perhatian daripada isu membabitkan Setiausaha Majlis Syura Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi dengan menggunakan isu UEC.


Malah Pas yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional pada 2020 - 2022 tidak pula cuba membatalkan keputusan berkenaan.


"Namun satu fakta yang kita perlu sedari kebenaran untuk lulusan UEC untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dibuat pada tahun 2018 oleh parti Melayu terbesar iaitu UMNO.


"Presidennya ketika itu yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Seri Najib Tun Razak.


"Pada ketika itu BN memang amat terdesak untuk mendapatkan undi kaum Cina. Terdesaknya BN untuk mengembalikan MCA sebagai parti pilihan, maka UMNO perlu tunduk dengan desakan untuk mengiktiraf UEC," kata beliau dalam kenyataan hari ini.


Amidi mendakwa, UMNO juga bersetuju untuk melanjutkan pajakan 99 tahun kepada sebuah sekolah menengah persendirian (SMP) di ibu negara.


"Operasi sebuah universiti swasta dari Tanah Besar China juga mendapat kelulusan ketika negara diterajui oleh parti Melayu terbesar (UMNO) pada 2018.


"Namun apakan daya, walau sebegitu hebat tawaran yang diletakkan dalam Manifesto BN ketika itu, UMNO-BN akhirnya terpaksa meninggalkan Putrajaya.


"UMNO perlu memberikan justifikasi kenapa keputusan itu dibuat selaku parti Melayu terbesar," ujar beliau yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN.


Terdahulu, media melaporkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata keputusan Kabinet itu hanya membabitkan kursus tertentu, namun kemasukan ke IPTA perlu berasaskan syarat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui Kementerian Pendidikan (KPM) kekal menjadi syarat wajib bagi kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page