IoT pantau warga emas: Teknologi bukan pengganti tanggungjawab keluarga, masyarakat


Teknologi harus menjadi pelengkap kepada sistem penjagaan dan sokongan komuniti, bukannya pengganti kepada tanggungjawab keluarga, masyarakat dan kerajaan
Teknologi pintar bagi memantau keselamatan warga emas yang tinggal bersendirian perlu berperanan sebagai pelengkap kepada sistem penjagaan dan sokongan komuniti, bukannya menggantikan tanggungjawab keluarga, masyarakat serta kerajaan.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean berkata, inisiatif kerajaan memperkenalkan sistem pemantauan keselamatan berasaskan teknologi pintar di Razak Mansion, Kuala Lumpur merupakan langkah positif dalam meningkatkan perlindungan golongan berkenaan.
Projek rintis yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) itu dijangka melibatkan antara 25 hingga 50 kediaman warga emas.
Menurutnya, penggunaan teknologi Internet Benda (IoT) untuk mengesan kejadian seperti terjatuh, pergerakan luar biasa dan menghantar notifikasi kecemasan kepada penjaga dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan warga emas.
Beliau turut menyambut baik penggunaan pengesan haba tanpa kamera kerana mengambil kira aspek privasi dan maruah penghuni.
"Bagaimanapun, teknologi harus menjadi pelengkap kepada sistem penjagaan dan sokongan komuniti, bukannya pengganti kepada tanggungjawab keluarga, masyarakat dan kerajaan.
"Keselamatan serta kesejahteraan warga emas memerlukan ekosistem sokongan yang menyeluruh, termasuk jaringan komuniti, perkhidmatan penjagaan dan perlindungan sosial yang berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ker Chean berkata, prinsip berkenaan selari dengan kempen Menua dengan Bermaruah yang digerakkan NGO Empati Malaysia sejak dua tahun lalu bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak, kebajikan dan keperluan warga emas.
Antara usaha yang diketengahkan menerusi kempen itu termasuk pengenalan penggera peribadi bagi membantu warga emas mendapatkan bantuan ketika kecemasan.
Beliau berharap projek rintis berkenaan dapat diperluaskan ke kawasan perumahan lain, khususnya komuniti yang mempunyai jumlah penduduk warga emas yang ramai.
Pada masa sama, kata pengasas NGO Empati Malaysia itu, kerajaan perlu terus memperkukuh sistem penjagaan dan sokongan komuniti bagi memastikan tiada warga emas terpinggir atau terpaksa menghadapi proses penuaan bersendirian tanpa bantuan sewajarnya.
"Penuaan bukan sekadar tanggungjawab keluarga, tetapi tanggungjawab bersama masyarakat dan negara. Warga emas bukan beban, sebaliknya anggota masyarakat yang berhak menikmati kehidupan yang selamat, berdikari dan dihormati.
"Menua dengan Bermaruah bukan sekadar slogan. Menua dengan Bermaruah adalah komitmen bersama untuk memastikan setiap insan dapat meniti usia tua dengan selamat, dihormati dan bermaruah," katanya lagi.




Comments