PRN Sarawak: Beri keutamaan isu air, elektrik luar bandar - AMK Mas Gading


Perkara ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan keperluan harian, kesejahteraan penduduk serta peluang pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat
Isu kemudahan asas khususnya bekalan air bersih, elektrik dan infrastruktur di kawasan luar bandar perlu menjadi antara agenda utama parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mas Gading, Heikarl Edzha Zaini berkata, masih terdapat kawasan luar bandar yang berdepan masalah bekalan air bersih dan elektrik tidak konsisten di negeri itu sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.
Menurutnya, pembangunan Sarawak tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan kemajuan bandar atau pelaksanaan projek berskala besar, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan kerajaan menyediakan kemudahan asas kepada seluruh rakyat termasuk penduduk pedalaman.
"Perkara ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan keperluan harian, kesejahteraan penduduk serta peluang pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
"Pembangunan Sarawak tidak seharusnya hanya diukur melalui kemajuan bandar dan projek berskala besar," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keupayaan memastikan setiap rakyat menikmati kemudahan asas sempurna juga perlu dijadikan ukuran utama kemajuan negeri.
Sehubungan itu, AMK Mas Gading berpandangan isu bekalan air, elektrik dan infrastruktur luar bandar perlu diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan serta agenda politik menjelang PRN Sarawak.
Dalam masa sama, Heikarl turut menggesa supaya anak muda diberikan ruang dan peluang lebih besar untuk tampil sebagai calon serta mengambil bahagian dalam kepimpinan politik negeri.
Katanya, golongan muda bukan sekadar pemerhati politik, sebaliknya mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan Sarawak.
"Penyertaan mereka perlu dilihat sebagai peluang untuk membawa perspektif baharu, idea segar dan pendekatan yang lebih dekat dengan realiti kehidupan generasi muda serta masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata, Sarawak memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja memahami cabaran semasa, malah bersedia mendengar suara rakyat tanpa mengira usia, latar belakang mahupun lokasi.
Justeru, beliau menegaskan pembangunan luar bandar perlu terus menjadi keutamaan, manakala suara anak muda mesti diberikan tempat dalam menentukan masa depan negeri itu.




Comments