Ibu bapa, masyarakat tonggak kejayaan reformasi pendidikan negara
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) menyeru penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat dalam menjayakan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh sedekad akan datang.
Menerusi hantaran di media sosial beliau berkata, komitmen dan sokongan jitu daripada semua pihak berkenaan amat diperlukan, khususnya dalam mendepani pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah dan persekolahan tahun depan.
"Kita baharu sahaja meluncurkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang menjadi hala tuju pendidikan negara untuk sedekad yang akan datang.
"Pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah juga telah bermula dan peluasan kelas prasekolah sedang giat dilaksanakan di seluruh negara. Pada tahun depan, kita akan memulakan kurikulum persekolahan baharu melibatkan anak-anak Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
"Semua ini hanya akan berjaya dengan komitmen dan sokongan jitu semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat," katanya.
Fadhlina memberi contoh sesi membaca yang diperkenalkan untuk anak-anak prasekolah yang memerlukan komitmen ibu bapa untuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak.
"Begitu juga dengan inisiatif-inisiatif lain yang memerlukan kerjasama semua," tambahnya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Fadhlina hadir ke sesi bersama warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) kawasan Ayer Molek dan Pengkalan Batu di Melaka.
Pada acara itu beliau turut menyampaikan peruntukan bernilai RM280,000 bagi tujuan naik taraf bilik guru yang memberi manfaat kepada 13 buah sekolah.




Comments