top of page

Hutan Simpan Ayer Hitam: Mengapa Wong Chen tidak guna saluran FOI?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 days ago
  • 2 min read

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) tampil mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Subang, Wong Chen tidak menggunakan saluran perundangan melalui permohonan Kebebasan Maklumat (Freedom of Information (FOI) bagi mendapatkan butiran berhubung penjualan tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Selangor.


Bryan berkata, Enakmen FOI Selangor 2011 telah berkuat kuasa sejak 2013 dan ia memberi hak kepada mana-mana individu termasuk seorang Ahli Parlimen untuk mengemukakan permohonan maklumat secara rasmi kepada jabatan Kerajaan Negeri, dengan kewajipan memberikan respons bertulis dalam masa 30 hari, menyatakan sebab sekiranya ditolak, dan hak untuk merayu.


Katanya, pendekatan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Subang berkenaan seperti menghantar surat tidak rasmi dan mengadakan sidang media tidak mewujudkan sebarang kewajipan undang-undang kepada mana-mana pihak untuk memberikan maklum balas.


"Di bawah Enakmen FOI, pemohon tidak diwajibkan menyatakan sebarang sebab bagi permintaan mereka. Kewajipan jabatan yang menerima permohonan adalah jelas.


"Paling penting, setiap langkah, respons, penolakan dan setiap sebab yang diberikan adalah tersurat, berdokumen serta boleh dikuatkuasakan secara undang-undang.


"Surat tidak rasmi tidak mempunyai kuasa sedemikian. Sidang media juga tidak. Ia mungkin menarik perhatian, tetapi tidak menjana sebarang obligasi undang-undang ke atas sesiapa pun," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Bryan Ng lagi, sejak awal Disember tahun lalu, Exco Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan bahawa kawasan tersebut telah dinyahwartakan sebagai hutan simpan sejak tahun 1926 dan tiada permohonan pembangunan yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan setakat ini.


"Maklumat ini tersedia secara awam. Sekiranya YB Wong Chen mendapati penjelasan itu tidak mencukupi, mekanisme FOI adalah jalan yang betul untuk menuntut maklumat yang lebih terperinci, bukan sidang media yang keempat.


"Kemukakan permohonan FOI itu YB Wong Chen. Itulah tujuan undang-undang ini diwujudkan," ujar Bryan yang juga Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan KEADILAN Selangor.


Sebelum ini, Wong Chen mengkritik kerajaan Selangor kerana gagal memberikan maklum balas terhadap beberapa pucuk surat berhubung penjualan kira-kira 68.4 hektar tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam.


Wong Chen dikatakan telah menghantar tiga surat rasmi sejak Disember lepas bagi menuntut penjelasan mengenai penjualan tanah yang dikhususkan untuk pembangunan itu, namun masih belum menerima jawapan rasmi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page