top of page

Hubungan Pusat-Negeri penting, banyak projek tertangguh selesai

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Rakyat Johor akan memperoleh manfaat besar sekiranya lebih ramai calon KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekaligus membolehkan suara rakyat dibawa secara lebih berkesan dari peringkat akar umbi ke Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan seterusnya ke Kerajaan Persekutuan.


Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, hubungan yang kukuh antara wakil rakyat di peringkat DUN, Parlimen dan kerajaan pusat amat penting bagi memastikan isu rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.


Menurut beliau, ketika ini tiga kerusi Parlimen di kawasan Segamat, Sekijang dan Labis berada di bawah Pakatan Harapan, namun daripada enam kerusi DUN di kawasan tersebut hanya seorang sahaja wakil PH berada dalam DUN.


"Kita sebagai Ahli Parlimen memerlukan ADUN yang boleh bekerjasama dengan kita. Banyak perkara akan menjadi lebih mudah sekiranya wakil rakyat di peringkat DUN dan Parlimen berada dalam pasukan yang sama dan membawa agenda yang sama untuk rakyat.


"ADUN bukan sahaja membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri, tetapi juga menjadi penghubung kepada Ahli Parlimen dan kementerian di peringkat Persekutuan," katanya dalam ceramah “Johor Ke Depan, Undi Harapan”, semalam.


Dr Zaliha berkata, kepentingan hubungan pusat-negeri dapat dilihat ketika Johor dilanda banjir besar pada tahun 2023 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun sendiri ke Segamat sejurus memegang jawatan Perdana Menteri bagi melihat keadaan rakyat yang terkesan.


Katanya, hasil keprihatinan kerajaan pusat, projek tebatan banjir bernilai RM600 juta diluluskan bagi daerah Segamat, manakala keseluruhan Johor menerima 16 projek tebatan banjir dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.9 bilion.


"Kalau tidak diambil perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, bukan mudah untuk mendapatkan peruntukan berbilion ringgit bagi membantu rakyat Johor yang berdepan masalah banjir," katanya.


Beliau turut memberi contoh bagaimana sebuah jambatan yang menghubungkan Felda Kemelah dan Felda Medoi yang musnah akibat banjir berjaya diberikan perhatian selepas usaha berterusan mendapatkan bantuan kerajaan pusat.


Menurut beliau, kos pembinaan semula jambatan tersebut berjumlah RM3 juta dan amat penting bagi memudahkan pergerakan penduduk serta pengangkutan hasil pertanian di kawasan Felda berkenaan.


"Apabila ada wakil rakyat yang boleh membawa isu terus kepada kementerian dan kerajaan pusat, penyelesaian dapat dilakukan dengan lebih cepat," kata Ahli Parlimen Sekijang itu.


Dr Zaliha turut menceritakan kejayaan menyelesaikan isu tanah yang berlarutan selama 43 tahun melibatkan sebuah sekolah di Segamat selepas pihaknya membawa perkara itu kepada Kementerian Pendidikan.


Katanya, aduan yang diterima daripada PIBG sekolah berkenaan akhirnya dapat diselesaikan apabila Menteri Pendidikan turun padang dan membantu menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh yang singkat.


"Ini menunjukkan apabila ada rangkaian kerjasama yang baik antara wakil rakyat, kementerian dan kerajaan pusat, masalah yang bertahun-tahun tertangguh boleh diselesaikan.


"Sebab itu kita perlukan lebih ramai ADUN KEADILAN dan Pakatan Harapan yang boleh membawa suara rakyat secara langsung ke DUN, Parlimen dan Putrajaya," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page