Hubungan Malaysia-Rusia: Peluang teroka pasaran ekonomi muslim
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia, khususnya umat Melayu Islam diseru untuk mengambil peluang daripada keterbukaan baru Rusia dalam hubungan antarabangsa, terutama dalam pasaran ekonomi muslim di negara itu.
Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Dr Maszlee Malik, berkata perubahan landskap geopolitik dunia hari ini menyaksikan Rusia dan China semakin terbuka dalam perdagangan dan kerjasama antarabangsa, berbanding Amerika Syarikat yang dilihat semakin tertutup.
Mantan Menteri Pendidikan itu berkata, umat Melayu Islam di Malaysia harus melihat Rusia bukan sekadar kuasa besar dunia, tetapi juga sebuah negara yang mempunyai akar sejarah Islam yang mendalam, seperti di wilayah Tatarstan di Kazan, di mana Islam telah berkembang jauh lebih awal daripada di Tanah Melayu.
"Dunia sudah berubah. Dahulu blok Timur sangat tertutup, kini mereka lebih terbuka. Rusia hari ini menyeru kepada dunia yang multipolar dan bebas berdagang. Ini peluang yang besar untuk kita, khususnya umat Islam di Malaysia.
"Ramai tak tahu, Islam sampai ke Kazan jauh sebelum sampai ke Nusantara. Ini menunjukkan bahawa hubungan Islam dan Rusia bukan perkara baharu. Kita patut manfaatkan ikatan sejarah ini untuk memperkukuh silaturrahim dan kerjasama hari ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Dr Maszlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN menggalakkan umat Islam Malaysia agar berani meneroka pasaran-pasaran baharu termasuk dalam industri halal di Rusia, yang katanya, menunjukkan permintaan tinggi selain meluaskan horizon pemikiran melalui pelancongan ke negara tersebut.
"Kalau kita ke Moscow hari ini, makanan halal sangat mudah dicari. Di pusat beli-belah, di lapangan terbang – semuanya ada. Ini isyarat bahawa Rusia sedang membuka pintunya kepada dunia Islam, dan kita patut menyambutnya dengan tangan terbuka," katanya lagi.
Beliau menyifatkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia pada 13 - 15 Mei lalu sebagai sangat baik dan membuka jalinan baharu ekonomi sesama umat Islam.
Oleh itu, Dr Maszlee menyarankan agar Malaysia lebih proaktif dalam mempromosikan negara ini sebagai destinasi mesra muslim kepada pelancong Rusia, memandangkan semakin ramai rakyat negara itu yang ingin mengenali dunia Islam di luar sempadan mereka.
Tambah beliau umat Melayu Islam khususnya di Malaysia perlu berfikir lebih jauh dan bersedia menjadi sebahagian daripada dunia Islam yang lebih bersatu dan saling menyokong dalam pelbagai bidang.
"Kita buka pintu kepada mereka, dan dalam masa yang sama kita luaskan pemikiran kita. Ini bukan sekadar soal ekonomi atau pelancongan, tetapi juga soal membina hubungan persaudaraan Islam yang lebih luas dan kukuh," kata Dr Maszlee lagi.
Untuk rekod, agama Islam merupakan kedua terbesar di Rusia dengan penganutnya melebihi 20%. Agama utama di negara itu adalah Kristian Ortodoks namun pemerintah Rusia memberi layanan sama rata kepada penganut Islam, terutama ke atas wilayah yang majoritinya muslim dalam Persekutuan Rusia.