top of page

Hubungan dengan Umno: Pilih kestabilan, kemakmuran, kerjasama - Anwar

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 day ago
  • 2 min read
DS Anwar memberi pencerahan dan ketetapan hubungan PH dan BN
DS Anwar memberi pencerahan dan ketetapan hubungan PH dan BN

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau memilih kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan meneruskan kerjasama dengan Umno serta Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara.


Berucap ketika penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka hari ini, Anwar berkata sebarang keputusan berkaitan hubungan politik tidak seharusnya didorong oleh kekesalan atau kemarahan, sebaliknya mesti berasaskan kepentingan rakyat dan negara.


"Saya pilih kestabilan. Saya pilih kemakmuran rakyat melalui peruntukan ekonomi dan saya pilih bekerjasama terus dengan Barisan Nasional dan Umno di peringkat pusat supaya dua prinsip ini diteruskan," katanya.


Menurut Anwar, kerajaan perpaduan yang terbentuk sejak November 2022 memerlukan kebijaksanaan, kewarasan dan kesedaran bahawa kestabilan politik penting bagi memastikan pembangunan ekonomi serta agenda rakyat dapat diteruskan.


Beliau berkata, hubungan kerjasama dalam kerajaan perlu berlandaskan kesetiaan untuk berunding, saling menghormati dan mengelakkan tindakan yang boleh menggugat permuafakatan.


"Kalau kita berkawan, kita berkawan. Kita bawa kepada merasakan kepercayaan dan keyakinan. Kita tidak ada agenda lain. Kalaupun kita rasa ada strategi baharu, kita nak ubah suai, kita bincang," katanya.


Berucap di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan, Anwar menegaskan bahawa hubungan peribadinya dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih baik dan beliau percaya sebarang perbezaan boleh dirundingkan secara matang.


"Secara waras dan penuh hikmah harus kita jaga perpaduan ini kerana hubungan peribadi saya dengan Datuk Seri Zahid masih terlalu baik. Dan saya percaya kita boleh runding secara baik, secara sahabat dan kita dengar sendiri," katanya.


Beliau berkata, setakat ini beliau belum mendengar sebarang pandangan negatif di peringkat Kerajaan Persekutuan yang menunjukkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perlu dihentikan.


Pada masa sama, Anwar mengakui bahawa setiap parti mempunyai hak untuk menentukan strategi masing-masing, namun keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kesannya terhadap kestabilan politik dan kepentingan rakyat.


"Pilihan mereka, biar mereka jawab. Tetapi kita sebagai satu parti perjuangan, apa pun kita bersedia. Kalau terpaksa langgar, kita terpaksa langgar," katanya.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan pimpinan KEADILAN supaya tidak mengambil pendekatan gopoh atau keterlaluan dalam menangani perbezaan dengan rakan dalam kerajaan.


"Kita tak kompromi soal Islam, soal Melayu. Tapi soal Cina, India, ini sebahagian daripada rakyat dan warga kita. Samalah dalam kerajaan perpaduan," katanya.


Anwar berkata, KEADILAN perlu terus mempertahankan pendekatan politik untuk semua rakyat tanpa terperangkap dalam politik kebencian atau identiti yang boleh memecah-belahkan masyarakat.


Beliau menegaskan bahawa matlamat utama kerajaan ialah mengangkat kehidupan rakyat, memperkukuh ekonomi dan memastikan kestabilan negara, bukannya mengejar kuasa semata-mata.


"Matlamat kita kekal kuasa? Tidak. Matlamat kita agenda rakyat. Tetapi tidak menghalalkan cara kezaliman dan penipuan," katanya.


Mengakhiri ucapan penggulungan, Anwar menyeru anggota KEADILAN supaya terus bekerja keras dan tidak mencari jalan mudah dalam perjuangan politik.


"Sekarang saya sebut kerja keras. Tak ada jalan pintas. Jalan kita jalan yang penuh liku, jalan yang sukar. Kita dah pilih jalan itu," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page