Hubungan baik antarabangsa: Malaysia berpotensi jadi jurucakap Asia Tenggara
- Suara Keadilan

- Jul 11
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia berpotensi besar untuk kembali memainkan peranan sebagai jurucakap Asia Tenggara dan negara dunia ketiga seperti era 1990an, terutamanya sekiranya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memperkukuhkan prinsip dasar luar yang berteraskan keadilan global, keamanan, dan pembangunan seimbang.
Demikian pandangan penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) ketika diminta mengulas kejayaan lawatan PM Anwar ke Eropah dan perjuangan multilateralisme di tengah-tengah peningkatan polarisasi global pada sidang BRICS di Brazil.
Namun Dr Awang Azman menyifatkan, peranan untuk menjadi jurucakap memerlukan lebih daripada sekadar retorik kerana ia memerlukan komitmen dasar luar yang konsisten, pembinaan jaringan antarabangsa dan pengukuhan aspek dalaman negara.
''Malaysia masih memerlukan pembaharuan dasar luar yang lebih konsisten dan berani mengambil posisi tegas dalam isu-isu antarabangsa.
''Secara keseluruhan, lawatan dan penyertaan Anwar dalam forum-forum berprofil tinggi adalah tanda positif kepada kebangkitan diplomatik Malaysia.
''Tetapi untuk kembali ke status 'Harimau Asia' dan menjadi jurucakap dunia ketiga, negara memerlukan transformasi domestik yang menyeluruh, serta konsistensi dan keberanian dalam dasar luar untuk menghadapi dunia yang semakin berpolarisasi,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambah Dr Awang Azman lagi, peranan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di Brazil mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan Anwar membawa 'suara tengah' mewakili negara membangun di saat ketegangan geopolitik berlaku antara blok Barat dan Timur.
Katanya, perjuangan Anwar yang juga Presiden KEADILAN dalam menegakkan multilateralisme dan tatanan dunia yang lebih adil amat sejajar dengan warisan perjuangan Malaysia terdahulu dalam era G77, Non-Aligned Movement (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
''Faktor yang menyokong Malaysia kembali menjadi jurucakap dunia ketiga ialah kredibiliti Anwar sebagai tokoh intelektual dan pemimpin Islam demokrat yang diterima di pelbagai blok Barat, Timur, dan Selatan Global.
''Malaysia sebagai negara sederhana Islam yang mempunyai dasar luar seimbang tidak terlalu condong kepada kuasa besar tertentu.
''Reputasi Malaysia yang menyokong kemanusiaan di Gaza, Rohingya, dan Palestin turut memberi kekuatan moral sebagai suara dunia ketiga,'' ujarnya lagi.
Untuk rekod, PM melawat negara kuasa besar Eropah Itali dan Perancis bermula 1 Julai lalu seterusnya memenuhi jemputan Presiden Brazil menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro pada 5 Julai.









Comments