Hospital catat masa menunggu katil bawah 8 jam meningkat kepada 72%


Sebanyak 28 daripada 39 hospital kerajaan kategori pakar utama berjaya merekodkan purata masa menunggu katil di bawah lapan jam setakat Jun 2026, meningkat daripada 55.26 peratus pada tahun lalu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani kesesakan di Jabatan Kecemasan serta mempercepat kemasukan pesakit ke wad.
Beliau berkata 28 hospital berkenaan mewakili 71.8 peratus daripada 39 hospital kategori Jenis 1 dan 2 iaitu hospital negeri serta hospital pakar utama yang menerima jumlah pesakit tinggi dan kes rujukan dari daerah sekitarnya.
"Sehingga Jun 2026, sejumlah 28 daripada 39 hospital bersamaan 71.8 peratus Jenis 1 dan 2 iaitu Hospital Negeri serta Hospital Pakar Major yang menerima jumlah pesakit yang ramai di Jabatan Kecemasan serta limpahan kes rujukan dari daerah sekeliling telah mencatatkan purata masa menunggu katil bagi kemasukan ke wad dari Jabatan Kecemasan di bawah 480 minit di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat hari ini mengenai jumlah hospital kerajaan yang terus mengalami kesesakan di Jabatan Kecemasan, purata masa menunggu untuk mendapatkan rawatan dan kemasukan ke wad serta langkah konkrit kementerian menangani masalah itu.
Menurut Dzulkefly, prestasi turut menunjukkan perkembangan positif di hospital kategori Jenis 3 dan 4 membabitkan hospital pakar minor serta hospital tanpa pakar.
Jelas beliau, sebanyak 94 daripada 103 hospital kategori berkenaan bersamaan 91.3 peratus, mencatatkan purata masa menunggu katil kurang daripada empat jam.
Bagi mengurangkan kesesakan di hospital utama, beliau berkata KKM melaksanakan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) sejak 2024 yang merangkumi 14 perkhidmatan, termasuk nefrologi dan kardiologi.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada lebih 50,000 pesakit di 75 hospital KKM yang terlibat sekali gus membantu mengurangkan beban perkhidmatan dan mempercepat akses kepada rawatan tertentu, ujarnya.
Selain itu, beliau menjelaskan kementerian memperkukuh pelaksanaan Lean Healthcare bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pesakit dari peringkat kemasukan hingga discaj selain mewujudkan Unit Pengurusan Katil (BDU), memperluas perkhidmatan rawatan harian dan mengoptimumkan penggunaan hospital kluster.
Kepada soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) mengenai pendekatan alternatif untuk mengurangkan kesesakan, Dzulkefly berkata KKM turut meneroka projek perintis konsep "cottage hospital" dan prosedur "step down".
Melalui pendekatan "step down", jelas beliau, pesakit yang telah disahkan stabil boleh dipindahkan ke hospital daerah yang bersesuaian bagi mengurangkan tekanan terhadap katil di hospital utama tanpa menjejaskan mutu penjagaan.
"Ini termasuk usaha step down iaitu sejurus pesakit disahkan stabil, mereka dikenal pasti untuk ditempatkan di hospital daerah tanpa berkompromi dari sudut penjagaan," katanya.
Beliau berkata konsep cottage hospital seperti dilaksana di United Kingdom turut diteliti khususnya bagi kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan menaik taraf klinik yang mempunyai keupayaan serta permintaan sesuai untuk menguruskan pesakit dalam.
Menurut beliau, KKM turut meneliti pelaksanaan Pengurusan Penjagaan Klinikal Bersepadu dan pembedahan global bagi membolehkan hospital tanpa pakar menjalankan prosedur pembedahan terpilih yang sesuai.
Pendekatan itu dijangka membantu mengurangkan kebergantungan terhadap hospital besar, selain memperluas akses kepada rawatan berhampiran tempat tinggal pesakit, katanya.
"Banyak inovasi sedang diteliti dan giat dijalankan projek rintis. Ramai pengarah hospital berlumba-lumba untuk mewujudkan pelbagai sistem inovasi dan perlu beri pengiktirafan kepada mereka," katanya.




Comments