Sektor e-hailing penyumbang terbesar pekerjaan, perlu tubuh kesatuan sekerja


Pekerja platform khususnya sektor e-hailing dijangka menjadi antara penyumbang terbesar kepada tenaga kerja di Malaysia dan dunia, sekali gus menuntut perubahan pendekatan kerajaan dalam mengiktiraf hak dan kebajikan pekerja era baharu itu.
Mantan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, kemunculan teknologi yang sentiasa berubah menjadikan pekerjaan berasaskan platform semakin penting dalam landskap pekerjaan semasa.
Beliau berkata, perubahan itu perlu diambil kira kerajaan kerana pekerjaan berasaskan platform kini menjadi satu arus utama yang tidak boleh diketepikan dalam usaha menjamin kebajikan pekerja.
"Kita lihat dengan kemunculan teknologi yang sentiasa berubah, pekerja platform menjadi satu arus utama.
"Hari ini kita lihat e-hailing dan juga platform akan menjadi majikan yang paling besar di negara ini dan dunia.
"Mereka merupakan penyumbang paling besar kepada komuniti pada masa akan datang. Inilah perkara kenapa hari ini kerajaan harus mengiktiraf bahawa dunia sudah berubah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Gerakan Badan Bertindak Sahabat e-hailing Malaysia (JK GBBSEM) di ibu negara hari ini.
Sidang media itu diadakan bertujuan memperkenalkan inisiatif penubuhan Kesatuan Sekerja bagi pemandu e-hailing dan industri yang berkaitan dengannya.
Menurut Tian Chua lagi, kerajaan perlu mengikuti perkembangan semasa yang membolehkan pekerja platform khususnya e-hailing menuntut hak mereka melalui penubuhan kesatuan.
Katanya, status pekerja platform tidak seharusnya dijadikan alasan oleh syarikat penyedia perkhidmatan untuk mengabaikan tuntutan berkaitan kebajikan pekerja.
"Kita harap kerajaan dan kementerian (dapat) mempercepatkan kelulusan kesatuan ini. Kita mempunyai 160,000 pekerja dalam sektor e-hailing.
"Cabaran terbesar untuk kesatuan ialah perlu mula organisasi, meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja supaya mereka faham hak mereka.
"Jangan berlenggang (dan) jangan mewujudkan terlalu banyak halangan bagi pekerja yang berniat murni untuk mempertahankan hak pekerja.
"Biarlah mereka ambil langkah yang pertama iaitu membenarkan hak menubuhkan kesatuan untuk menjamin hak serta kebajikan pekerja-pekerja e-hailing," ujarnya lagi.




Comments