top of page

MoF sekat BUDI MADANI di P Pinang, lebih 1,000 transaksi disyaki diseleweng

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Kementerian Kewangan (MoF) menyekat penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI di sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang selepas mengesan lebih 1,000 transaksi mencurigakan disyaki membabitkan penyalahgunaan subsidi.


Transaksi berkenaan melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000 berdasarkan semakan rekod stesen minyak itu susulan aduan penerima BUDI MADANI yang mendakwa maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.


"Kerajaan MADANI telah mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI," kata kenyataan MoF hari ini.


Menurut kementerian itu, semakan mendapati transaksi berkenaan menggunakan kaedah pintasan manual manakala semua pengadu telah membuat laporan polis berhubung penggunaan maklumat MyKad mereka tanpa kebenaran.


Selain menyekat penjualan bahan api bersubsidi di stesen berkenaan, MoF turut menahan bayaran subsidi berjumlah awal lebih RM270,000 sementara menunggu penyelarasan lanjut.


Kementerian itu juga menyekat sementara sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sepanjang siasatan susulan dijalankan.


MoF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka.


"Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya penglibatan mereka dalam penyalahgunaan subsidi dapat dibuktikan," katanya.


MoF menegaskan BUDI MADANI dirangka bagi memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan dan bukannya untuk disalahgunakan bagi kepentingan peribadi.


"Kerajaan MADANI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan BUDI MADANI.


"Kerajaan sentiasa memantau transaksi BUDI MADANI dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi," kata kenyataan itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page