top of page

PM, Azizah ucap takziah anggota APMM terkorban halang PATI ceroboh negara

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
2 hours ago
2 min read
Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan. Foto kredit: FB DS Fahmi
Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan. Foto kredit: FB DS Fahmi

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini.


Perdana Menteri berkata pemergian Allahyarham turut dirasai seluruh warga APMM yang kehilangan rakan seperjuangan dalam usaha mempertahankan keselamatan perairan negara.


"Kehilangan itu amat berat buat keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberikan kesabaran serta ketabahan untuk menghadapi dugaan berkenaan.


"Saya dan Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat berat ini," katanya menerusi kenyataan di media sosial.


Anwar turut melahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap tindakan pihak yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara sambil menegaskan pengorbanan anggota keselamatan tidak boleh dibiarkan sia-sia.


Sehubungan itu, beliau menegaskan seluruh pasukan penguatkuasaan perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara.


"Saya dan seluruh pasukan bertekad untuk bertindak tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing serta mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan mereka.


"Petualang yang mengizinkan kedaulatan negara kita dicabul juga mesti diheret ke muka pengadilan. Nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan," katanya.


Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.


Dalam kejadian tengah malam tadi, Mohd Roshaimi, 41, terkorban ketika menjalankan operasi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin di perairan Sungai Padang, Perlis.


Insiden berlaku apabila bot peronda yang dinaiki bersama tiga anggota lain dipercayai melanggar benteng pantai ketika mengejar sebuah bot yang disyaki membawa sembilan warga Myanmar.


Ketiga-tiga anggota lain dilaporkan cedera, manakala jasad Allahyarham ditemukan kira-kira sejam selepas kejadian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page