Hormati agama, jangan jadikan kitab suci bahan jenaka — Roland Engan


Semua pihak, khususnya pemimpin dan wakil parti politik perlu lebih berhati-hati ketika menyentuh soal agama dan kepercayaan bagi memastikan keharmonian serta perpaduan rakyat terus terpelihara.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata, agama dan kitab suci tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak, terutama apabila ia menyentuh perkara yang dianggap suci oleh penganut sesuatu agama.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kontroversi membabitkan ucapan seorang perwakilan Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang membuat jenaka berkaitan Father dan Sister serta mengaitkannya dengan Kitab Mazmur.
"Sebagai Naib Presiden KEADILAN yang memantau Sabah, Sarawak dan Labuan, saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa agama dan kitab suci tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak, apatah lagi apabila (bahan) lawak tersebut menyentuh perkara yang dianggap suci oleh penganut sesuatu agama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Roland, beliau secara peribadi memilih untuk memaafkan kesilapan berkenaan kerana setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
"Namun, memaafkan tidak bermaksud kita tidak boleh memberikan teguran dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku," katanya.
Beliau berkata, UMNO sejak sekian lama mendapat sokongan politik daripada rakyat Sabah dan Sarawak, yang turut mempunyai masyarakat Kristian yang besar termasuk dalam kalangan Bumiputera di kedua-dua wilayah itu.
Oleh itu, ujar beliau mana-mana parti politik yang mahu mendapat kepercayaan rakyat di kedua-dua wilayah berkenaan perlu benar-benar memahami sensitiviti agama, budaya dan adat masyarakat setempat.
"Jangan hanya memahami Sabah dan Sarawak ketika memerlukan sokongan politik. Fahamilah juga hati, sensitiviti dan kehidupan rakyatnya," katanya.
Tegas Roland, Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia, manakala kepelbagaian agama dan budaya di kedua-dua wilayah itu merupakan antara kekuatan terbesar negara.
Mengulas lanjut kontroversi tersebut, Roland turut menyeru masyarakat Kristian supaya bertenang dan memaafkan kesilapan berkenaan tanpa membalas penghinaan dengan penghinaan.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan atau lawak berkenaan tidak mewakili Alkitab, Kitab Mazmur, ajaran Kristian mahupun golongan Father dan Sister.
"Apa yang disampaikan itu adalah pilihan dan tanggungjawab individu yang menyampaikannya."
Pada masa sama, beliau berkata rujukan kepada Mazmur yang digunakan dalam ucapan berkenaan perlu diperbetulkan kerana ayat yang dikaitkan dengannya tidak sepadan dengan kandungan sebenar Mazmur yang dirujuk.
"Oleh itu, janganlah kita menjadikan kesilapan seorang individu sebagai alasan untuk menyerang agama atau kitab suci. Fokus kita hendaklah kepada sikap dan tindakan individu tersebut, bukan menyalahkan Alkitab atau agama Kristian," katanya.
Roland berkata rakyat tidak memerlukan politik yang menjadikan agama, kaum dan budaya sebagai bahan untuk memecah-belahkan masyarakat.
Sebaliknya, jelas beliau, rakyat memerlukan pemimpin yang bercakap tentang ekonomi dan kos sara hidup; pendidikan dan masa depan anak-anak Malaysia; peluang pekerjaan, pembangunan Sabah dan Sarawak; pembasmian kemiskinan; integriti dan tadbir urus; hak rakyat; dan masa depan Malaysia yang lebih adil dan bersatu.
Sempena sambutan Hari Malaysia ke-63, Roland berharap insiden seumpama itu tidak berulang dan semua pihak mengambil iktibar daripada kontroversi berkenaan.
"Kalau kita mahu agama kita dihormati, kita juga mesti menghormati agama orang lain," katanya.
Beliau berkata kepelbagaian kaum, agama dan budaya adalah aset serta warisan terbaik Malaysia yang perlu dipelihara bersama.
"Sempena Hari Malaysia ke-63, marilah kita memilih kedamaian daripada permusuhan, pengampunan daripada kebencian, persaudaraan daripada perpecahan dan perpaduan daripada politik yang memecah-belahkan
"Kita mungkin berbeza warna, agama, budaya dan latar belakang — tetapi kita tetap berkongsi satu masa depan sebagai rakyat Malaysia," kata Roland lagi.




Comments