top of page

Himpunan Turun Anwar satu kematangan demokrasi di era MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 27
  • 2 min read

ree

Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang yang berniat menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebaliknya diberi layanan baik oleh jentera pentadbiran negara di bawah PM.


Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Adam Adli Abd Halim (gambar), kerukunan sepanjang himpunan itu tanpa gangguan dari pihak berkuasa merupakan cerminan satu demokrasi yang matang sebagaimana dijanjikan oleh pentadbiran Anwar Ibrahim sejak sekian lama.


Katanya, himpunan pada Sabtu yang sama dua dekad lalu di bawah gerakan Reformasi tidak dilayan secara manusiawi, malah anggota keselamatan pada waktu itu membedil rakyat dengan gas pemedih mata.


"Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan.


"Di era MADANI, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.


"Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai. Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi," kata Adam Adli dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, suasana politik baharu ini turut ditandai melalui penghargaan PM kepada anggota keselamatan di lapangan petang semalam.


Katanya, kehadiran polis tanpa gas pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi negara, mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi.


Hal itu, katanya, sesuai dengan cita cita Malaysia mahu menjadi negara MADANI atau bertamadun.


"Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat. Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.


"Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik. Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari," ujarnya.


Oleh itu, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, pembangkang semakin resah kerana kurangnya bahan untuk dihangatkan sehingga mereka sengaja mengalihkan isu dengan mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi menyerang kerajaan.


Pembangkang tidak menyediakan dasar alternatif yang lebih baik, dan malah melakukan serangan ke atas personaliti seperti PM.


"KEADILAN melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.


"Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi. Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama? Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?


"Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting. Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil," katanya lagi.


Bagi Adam Adli, semalam adalah bukti semangat MADANI yang melapangkan ruang untuk rakyat bersuara tanpa rasa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa rasa angkuh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page