Himpunan Kita KEADILAN Tanjong Karang 2026 rumus 10 resolusi


Himpunan Kita KEADILAN Tanjong Karang 2026 merumuskan 10 resolusi utama sebagai tekad bersama untuk memperkukuh gerak kerja organisasi serta memastikan perjuangan Reformasi diterjemahkan melalui tindakan dan khidmat yang dekat dengan rakyat.
Menurut kenyataan KEADILAN Cabang Tanjong Karang, resolusi berkenaan memberi tumpuan kepada tadbir urus berintegriti, pembinaan masyarakat MADANI, kos sara hidup, kesejahteraan rakyat, pembangunan luar bandar dan pertanian.
Hal itu turut meliputi pengukuhan organisasi, peranan anak muda dan wanita, gerak kerja akar umbi serta komunikasi yang pantas dan berfakta.
"Bagi KEADILAN Tanjong Karang, Reformasi tidak boleh berhenti sebagai slogan. Ia mesti diterjemahkan melalui kerja yang boleh dilihat dan dirasai rakyat — mendengar masalah, memahami keperluan, bertindak dan mengukur hasilnya," kata kenyataan KEADILAN Tanjong Karang.
KEADILAN Tanjong Karang yang dipengerusikan oleh Yahya Sahri menjelaskan, pendekatan “Dengar, Faham, Muhasabah, Bertindak dan Ukur” akan menjadi antara asas yang diketengahkan bagi memperkukuh hubungan antara organisasi dengan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, resolusi berkenaan turut memberi penekanan kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk kos sara hidup, peluang ekonomi, pembangunan luar bandar, pertanian, pendidikan, kesihatan, kemudahan asas serta masa depan golongan muda.

Cabang dan ranting juga perlu diperkasakan sebagai penghubung bagi memastikan suara serta keperluan masyarakat dapat disampaikan kepada ruang tindakan.
"Himpunan ini juga menegaskan bahawa kekuatan organisasi bermula daripada akar umbi. Ranting perlu lebih aktif, anak muda dan wanita perlu diberikan ruang kepimpinan, manakala komunikasi serta penggunaan teknologi perlu diperkasakan bagi memastikan gerak kerja lebih pantas, tersusun dan berkesan," kata kenyataan itu.
KEADILAN Tanjong Karang berkata, resolusi yang dirumuskan bukan sekadar dokumen, sebaliknya menjadi komitmen untuk diterjemahkan melalui gerak kerja organisasi.
"Hasil perbahasan akan dijadikan panduan untuk memperkukuh gerak kerja Cabang dan Ranting serta meningkatkan khidmat kepada masyarakat," katanya.
Resolusi berkenaan dirumuskan menerusi Himpunan Kita KEADILAN Tanjong Karang 2026 Ahad lalu yang membawa tema “Memugar Reformasi, Membina MADANI”.




Comments