Hilang kerja: Selangor umum Pakej Pengukuhan Daya Tahan RM209 juta
- Suara Keadilan

- 11 hours ago
- 2 min read

Ketika ribuan rakyat berdepan kehilangan pekerjaan dan peniaga bergelut dengan peningkatan kos operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global, Kerajaan Negeri Selangor tampil dengan pakej bantuan baharu bernilai RM209.26 juta bagi mengurangkan tekanan yang semakin dirasai pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah 15 inisiatif baharu di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu dirangka berdasarkan data dan maklumat semasa, termasuk rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menunjukkan seramai 10,869 warga Selangor kehilangan pekerjaan antara Januari hingga Mei tahun ini.
"Kerajaan negeri mengambil pendekatan bukan sekadar memberikan bantuan tunai tetapi mewujudkan peluang baharu kepada rakyat melalui keusahawanan, peningkatan kemahiran dan perlindungan kepada sektor ekonomi yang terkesan," katanya dipetik media tempatan ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Sidang Khas Dewan Negeri (DN) Selangor hari ini.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri tidak mahu bertindak secara populis semata-mata sebaliknya memastikan setiap langkah yang diumumkan berpandukan data dan pandangan pakar.
"Kerajaan Negeri tampil bukan untuk menjadi Santa Claus atau mereka yang ingin memberikan wang dengan sesuka hati tetapi bertindak dengan data, maklumat serta pandangan pakar...," katanya.
Antara inisiatif terbesar diumumkan ialah perluasan program Selangor Advance (SA500) dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu aliran tunai syarikat dan kontraktor yang terlibat dalam projek kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pentadbiran daerah.
Kerajaan negeri turut memperkenalkan Dana Pantas Usahawan bernilai RM20 juta yang menawarkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada setiap usahawan dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.
Dalam usaha mengurangkan beban peniaga kecil, kadar sewa premis PBT akan dikurangkan sebanyak 30 peratus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember ini yang dijangka memanfaatkan lebih 21,000 peniaga.
Selain itu, kira-kira 6,000 usahawan yang mempunyai pembiayaan di bawah Yayasan Hijrah akan diberi peluang menstruktur semula pinjaman tanpa dikenakan faedah tambahan atau penalti.
Bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan negeri menyediakan RM4 juta untuk Program Transisi Kerjaya PLATS yang menawarkan latihan asas keusahawanan, bantuan data internet selama setahun dan elaun perjalanan.
Dalam sektor pertanian pula, RM6 juta diperuntukkan menerusi Bantuan Agropreneur Selangor yang akan memberi manfaat kepada 2,469 petani dan nelayan melalui bantuan antara RM300 hingga RM600.
Amirudin turut mengumumkan moratorium sewa rumah Smart Sewa selama tiga bulan kepada 1,012 penyewa serta moratorium pinjaman perumahan kepada 2,333 penjawat awam negeri bermula Oktober hingga Disember tahun ini.
Bagi sektor pendidikan dan pembangunan bakat, kerajaan negeri memperuntukkan RM17 juta bagi Biasiswa Pendidikan Kita Selangor untuk pelajar dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, kejuruteraan dan elektronik.
Sementara itu, katanya sejumlah RM20 juta lagi disalurkan menerusi program Teraju IKTISASS termasuk pensijilan AI kepada 500 guru serta latihan profesional dan kemahiran kepada ribuan peserta.
Beliau berkata, bantuan Mama Kerja turut ditambah sebanyak RM5 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM10 juta bagi membantu ibu bekerja menampung kos penjagaan anak berusia enam tahun ke bawah.
"Dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi hijau, kerajaan negeri turut menawarkan rebat cukai taksiran 100 peratus bagi pemilik rumah yang memasang kemudahan seperti panel solar, sistem tadahan air hujan dan pengecas kenderaan elektrik," ujar beliau.
Menurut Amirudin, keseluruhan nilai Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 kini mencecah RM355.06 juta.
"Di saat krisis, kita memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak. Bukan hanya anggota pentadbiran atau wakil rakyat tetapi rakyat secara keseluruhan," katanya.




Comments