Hicks Mansion: 'Port' PATI, Pemandangan Menyakitkan di Ibu Kota?
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Siapa sangka, di sebalik kemegahan ibu kota yang bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, masih ada "barah" yang dibiarkan membusuk di tengah bandar raya. Hicks Mansion, bangunan yang terletak berhampiran kawasan tumpuan pelancong di Jalan Alor, kini bukan sahaja didakwa menjadi pemandangan yang mencacatkan, malah bukti kegagalan sistemik yang sudah berlarutan selama 15 tahun.
Kerja-kerja pembersihan yang dijalankan baru-baru ini hanyalah "ubat tahan sakit" sementara. Ia bukan penyelesaian. Selagi punca utama tidak dibedah, selagi itu bangunan ini mungkin kekal menjadi lokasi menyakitkan pemandangan.
Saya menghargai langkah progresif Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar, Datuk Seri Fadlun seperti dipaparkan di laman sosial DBKL: https://www.facebook.com/share/p/1Bky6MZKSV/. Namun, kita harus berani mengakui satu hakikat pahit: kerja-kerja pembersihan di Hicks Mansion baru-baru ini bukanlah satu kejayaan mutlak. Ia sebenarnya hanyalah kesan sampingan daripada kegagalan sistemik. Masalah ini sudah lama dipandang ringan.
Sepanjang dua tahun saya berkhidmat dalam Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (2023–2025), desakan demi desakan dibuat agar tindakan tegas diambil terhadap pengurusan bangunan ini. Namun, ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Sistem kawal selia kita seolah-olah "terkunci" dan gagal bertaring.
Kenapa masalah berlarutan?
Ada lima punca utama mengapa masalah ini terus berlarutan tanpa kesudahan:
'Perangkap' Dana Awam: Pengurusan tahu, bila keadaan sudah terlalu teruk dan menjijikkan, pihak berkuasa akan datang "menyelamatkan" keadaan menggunakan duit rakyat.

Sekadar 'Kosmetik': Bersihkan tapak, pasang zink, kemudian tunggu sehingga kotor semula. Strategi reaktif seperti ini hanya membuang masa. Bau busuk tetap ada, masalah tetap sama.
Agenda Tersirat: Ada bau-bauan yang kurang enak—adakah bangunan ini sengaja dibiarkan uzur supaya nilai jatuh, dan pemilik terpaksa menjualnya kepada pihak tertentu untuk projek komersial mega?
'Port' PATI: Ini yang paling menakutkan. Bangunan ini sudah menjadi sarang warga asing tanpa izin (PATI). Serbuan Disember 2024 membuktikan ada yang berani tinggal di kawasan awam, termasuk di atas bumbung flat. Pihak pengurusan kata "tidak tahu"? Hari ini, hanya seorang penduduk asal yang masih bertahan.
Tunggu Viral Baru Bergerak: Ini penyakit kronik. Pihak berkuasa dilihat hanya "panas" apabila isu menjadi tular di media sosial.
COB patut tunjuk 'taring'
Masalah ini bukan saja di Hicks Mansion. Di Seksyen 2, Bandar Baru Wangsa Maju, kita lihat senario sama. Pesuruhjaya Bangunan (COB) berulang kali memberi kelonggaran menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) buat pihak pengurusan yang nyata gagal mengurus kebersihan. Mengapa membiarkan mereka yang tidak kompeten terus memegang kuasa?
Kerajaan ada kuasa di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757). COB bukan sekadar penasihat, mereka adalah badan kawal selia yang mempunyai kuasa mutlak. Seksyen 24 Akta itu jelas—jika pengurusan gagal, ambil alih bangunan tersebut. Lantik ejen bebas. Mengapa perlu berlembut dengan pihak yang jelas mengabaikan kebajikan penghuni?
Jangan sampai rosak imej di mata dunia
Tahun-tahun saya di Lembaga Penasihat adalah untuk memastikan Kuala Lumpur bersedia menyambut Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026. Saya tidak mampu lagi berdiam diri melihat premis ini terus merosot.
Saya menggesa pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta COB: Berhenti berselindung di sebalik birokrasi.
Rakyat sedang memerhati. Laksanakan mandat yang ada dengan tegas. Sudah sampai masanya kita mula bertindak untuk memastikan ibu kota kita benar-benar bersih, selamat, dan bertaraf dunia.
Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (2023–2025)




Comments