top of page

Hentikan politik kaum, wilayah ‘first’ - Roland Engan

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Aug 20
2 min read

Rakyat Malaysia perlu menolak politik yang meletakkan identiti kaum atau wilayah sebagai keutamaan mutlak kerana pendekatan sedemikian hanya akan mewujudkan tembok pemisah dalam usaha membina sebuah negara yang bersatu dan inklusif.


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata rakyat negara ini tidak boleh lagi terperangkap dengan politik berteraskan konsep ‘Malay First’, ‘Chinese First’, ‘Indian First’, ‘Sabahan First’ atau ‘Sarawakian First’.


Sebaliknya, beliau menegaskan setiap rakyat perlu melihat diri mereka sebagai anak Malaysia meskipun mempunyai identiti bangsa, agama, budaya, bahasa dan wilayah masing-masing.


"Kita semua adalah anak Malaysia. Kita adalah rakyat Malaysia.


"Kita boleh berbangga dengan bangsa, agama, budaya, bahasa dan wilayah masing-masing. Namun kebanggaan terhadap identiti tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan kita sebagai sebuah bangsa Malaysia," katanya dalam kenyataan.


Menurut Roland, cabaran Malaysia ketika ini bukan lagi semata-mata mengenai persaingan antara kaum dalam negara sebaliknya bagaimana seluruh rakyat dapat bersatu bagi membolehkan negara bersaing di peringkat antarabangsa.


Kata beliau Malaysia hanya akan menjadi lebih kuat sekiranya semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya atau wilayah diberikan ruang, peluang dan penghormatan secara adil.


Dalam konteks perjuangan KEADILAN, Roland berkata agenda reformasi tidak boleh hanya memberi manfaat kepada kelompok tertentu sebaliknya perlu memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat.


Demikian juga agenda Malaysia MADANI, ia perlu dirasai rakyat secara menyeluruh dari Perlis hingga Sabah dan Sarawak,termasuk golongan yang tinggal di bandar serta kawasan pedalaman, kata Roland.


"Tiada golongan yang harus dipinggirkan. Tiada wilayah yang harus dilupakan. Tiada rakyat yang harus berasa mereka bukan sebahagian daripada Malaysia.


"Kita perlu membina sebuah Malaysia yang melihat kepelbagaian sebagai kekuatan, bukan kelemahan," katanya.


Roland berkata usaha itu turut memerlukan pembangunan, peluang ekonomi, pendidikan, infrastruktur, keadilan sosial dan perlindungan hak dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.


Justeru itu, beliau mengajak rakyat memugar kembali semangat reformasi dengan membina Malaysia yang lebih bersatu, demokratik, adil dan inklusif.


"Kita bukan sekadar Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak. Kita adalah rakyat Malaysia.


"Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti berjuang untuk kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa meminggirkan mana-mana golongan di seluruh pelosok negara tercinta ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page