top of page

Hentikan kempen pilihanraya berunsur perkauman - BERSIH

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 days ago
  • 1 min read

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa semua parti politik menghentikan kempen yang membangkitkan sentimen perkauman dan agama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sambil mengingatkan tindakan sedemikian boleh menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan menegaskan, sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk membangkitkan sentimen kebencian antara kaum dan agama demi meraih sokongan politik, merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan wajar ditolak serta dikecam seluruh lapisan masyarakat.


Katanya, pilihanraya adalah medan untuk bersaing secara idea dan polisi tentang pembangunan negara dan negeri demi memberi manfaat kepada rakyat.


"Kempen yang menggunakan retorik tidak sihat seperti tidak mengiktiraf kedudukan suatu kaum di negara ini, mewujudkan naratif seperti gelombang hijau yang merujuk kepada suatu agama, dan akan ada Menteri Besar bukan daripada kaum Melayu harus dihentikan.


"Kempen sebegini boleh mencemarkan proses demokrasi, malah menghakis objektif utama pilihanraya sebagai wadah memperkukuh mandat rakyat.


"Lebih membimbangkan, pendekatan sedemikian berisiko memecahbelahkan masyarakat, merosakkan keharmonian antara kaum, serta mencetuskan ketegangan sosial yang tidak diingini," kata jawatankuasa itu.


BERSIH memaklumkan pihaknya juga sedang memantau kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sedang berlangsung dan telah memantau PRN Johor yang diadakan sebelum ini.


Sehubungan itu, BERSIH mengingatkan semua pihak agar berkempen secara matang, beretika dan bertanggungjawab.


Pada masa sama, BERSIH turut mengingatkan semua pihak agar melihat pentas pilihanraya secara objektif sebagai wadah untuk memilih pemimpin berdasarkan dasar yang ditawarkan, rekod pencapaian, prestasi pembangunan, integriti, dan keupayaan membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page