Hentikan hegemoni AS - Israel, Malaysia perlu tegas tentang pencerobohan
- Redzuan Shamsudin

- Mar 1
- 2 min read

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar) berkata serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran sejak semalam mengesahkan hegemoni serta niat jahat kuasa besar itu, dan Malaysia serta masyarakat antarabangsa mesti mengambil pendirian tegas terhadap tindakan tersebut.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama AS menyerang Iran semasa rundingan dijalankan, menunjukkan bahawa taktik yang digunakan Washington tidak boleh dipercayai dan sentiasa berubah sasaran rundingan daripada isu tenaga nuklear kepada peluru berpandu balistik dan akhirnya agenda pertukaran rejim.
"AS sedang melaksanakan kehendak dan niat jahat Israel untuk cuba menghancurkan Iran seperti yang telah dilakukan terhadap Iraq, Libya dan Syria," katanya dalam satu kenyataan.
Raja Bahrin juga menegaskan bahawa sejak serangan pertama ke atas Iran tahun lalu, hakikat bahawa undang-undang antarabangsa dan suara Pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah diketepikan, sementara dunia seolah-olah tidak berupaya bertindak secara efektif.
Serangan semalam, katanya, lebih kejam terutama ditujukan ke atas sebuah sekolah di Minab, selatan Iran yang mengorbankan lebih 80 pelajar perempuan seperti dilaporkan oleh Palang Merah Antarabangsa.
AS, kata Raja Bahrin, ketika ini semakin tidak terkawal sehingga turut mengancam sekutunya, dan ingin mengambil alih Greenland yang berada di bawah Kesatuan Eropah.
"Jika sekutu AS yang kononnya seperti negara-negara Eropah turut diancam, siapa lagi di dunia ini yang boleh selamat daripada pencerobohan dan hegemoni AS?" soal beliau sambil menekankan tindakan tegas perlu diambil segera.
Raja Bahrin menggesa Malaysia dan negara lain agar tidak berdiam diri terhadap apa yang digambarkan sebagai bentuk penindasan terbuka, sambil menyeru seluruh rakyat Malaysia mempertimbangkan boikot produk negara-negara yang dilihat menyokong tindakan ke atas Iran.
"Dengan berita Ayatollah Khamenei telah terbunuh, dengan juga mengambil kira penculikan Presiden Venezuela oleh AS, nampaknya semua pemimpin dunia perlu mendapat restu serta pengesahan daripada AS untuk mengelakkan pertukaran rejim oleh kuasa hegemoni tersebut," katanya.
Justeru, Raja Bahrin menyeru agar gerakan sosial seperti Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) diperkukuh dan diperluaskan sebagai langkah menentang hegemoni dan dan pencerobohan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa jika pendirian tegas tidak diambil, dunia berisiko bergerak ke arah keadaan tanpa undang-undang dan anarki, dengan impak yang tidak menentu terhadap keamanan dan kestabilan global.




Comments